Jumaat, 31 Julai 2020

Pemegang amanah Yayasan Akalbudi terima lebih RM66 juta, kata saksi

Bernama
MGF23062020_ZAHID-MAHKAMAH06-1-681x454
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa firma guaman Tetuan Lewis & Co yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima lebih RM66 juta melalui cek daripada individu dan pelbagai syarikat, antara 2016 hingga 2018.

Akauntan firma guaman itu, V. Sothilechmy, 67, berkata, pemilik Lewis & Co, B. Muralidharan mengarahkannya supaya memasukkan cek ke dalam akaun bank firma guaman itu sebelum memindahkan wang tersebut ke dalam dua akaun simpanan tetap.

“Beberapa pembayaran dilakukan melalui dua akaun simpanan tetap itu antaranya, untuk pembelian dua lot tanah dan bayaran kepada Yayasan Akalbudi,” katanya ketika membaca penyataan saksi pada hari ke-30 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi bekas timbalan perdana menteri itu.

Tetuan Lewis & Co mempunyai dua rakan kongsi iaitu Muralidharan dan V. Premshangar.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fat semasa pemeriksaan utama, sama ada individu dan syarikat yang memberi cek lebih RM66 juta tersebut merupakan klien Lewis & Co, saksi itu menjawab “bukan”.

Lee: Adakah Datuk Seri Zahid klien Lewis & Co?

Sothilechmy: Ya, klien Lewis & Co.

Saksi pendakwaan ke-85 itu juga bersetuju dengan Lee bahawa Yayasan Al-Falah yang dimiliki ahli keluarga Zahid, merupakan klien firma guaman tersebut.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-66, Faisalludin Mohamat Yusuff memberitahu mahkamah bahawa Zahid menyumbang RM5.9 juta kepada Yayasan Al-Falah, organisasi yang adiknya, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, bagi pembelian dua buah banglo di Country Heights.

Zahid, 67, berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi dan lapan pertuduhan rasuah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 10 Ogos ini. –BERNAMA

Tiada ulasan: