ISMA akan terus memerhati, menentang usaha pengiktirafan
BANGI – Perjuangan menentang pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) masih belum berakhir, meskipun Hua Zong meminta semua organisasi Cina di Malaysia ‘berdiam diri’ dalam beberapa isu ekoran keadaan politik tidak menentu sekarang.
Sambil mengucap tahniah di atas kejayaan gelombang rakyat menolak UEC hingga membuatkan Hua Zong gentar, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin mengingatkan, perjuangan mengekang agenda pengiktirafan UEC masih belum selesai.
“Kita akan terus memerhati perkembangan dan menentang usaha ke arah pengiktirafan UEC,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook , hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Terhormat dan Tetap Hua Zong, Tan Sri Lim Huah Leong menggesa pertubuhan Cina untuk tidak berbincang secara terbuka mengenai UEC, termasuklah isu membabitkan agama, budaya, pendidikan dan kaum.
Katanya, sebelum ahli politik dapat menyelesaikan persengketaan di antara mereka, pemimpin pertubuhan Cina di seluruh negara tidak perlu membesarkan isu pengiktirafan UEC.
Beliau berkata, pemimpin pertubuhan Cina harus mempunyai ‘deria bau yang sensitif’.
“Janganlah menjadi semut yang terkorban dalam pertarungan antara gajah-gajah,” katanya seperti dilapor portal MalaysiaKini edisi bahasa Mandarin pada 20 Julai lalu.
UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.
Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan