Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad
Heret kemelut kehakiman negara ke kancah eksekutif perlu diubah
1. APABILA Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman bersalah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan penggubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International Sdn. Bhd, pelbagai reaksi dapat diperhatikan dari banyak pihak.
2. Mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009, Hakim menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta (lima kali ganda nilai suapan RM42juta) dan beliau perlu menjalani semua hukuman ini jika rayuan beliau di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan ditolak nanti.
3. Seluruh rakyat perlu menghormati keputusan mahkamah ini walau apa pun pendirian peribadi dan kecenderungan politik masing-masing. Betapa banyak sekalipun keputusan kontroversi yang telah dibuat mahkamah sebelum ini, institusi kehakiman yang bebas ini perlu terus dihormati dan diperkasakan
4. Rakyat bukan hakim negara. Malaysia adalah negara berdaulat yang dibina atas kerangka dan undang-undang yang amat baik berdasarkan sejarah dan identiti asal tanah bertuah ini
5. Kerangka negara yang menentukan pemisahan kuasa antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong perlu direalisasikan dengan baik dan berhati-hati.
6. Pengalaman panjang politik negara menunjukkan kerangka ini terkadang tidak dihormati, termasuk oleh negarawan ulung yang pernah memimpin negara. Ini perlu diperbaiki oleh kepimpinan baru.
7. Selain itu, mengheret kemelut kehakiman negara ke kancah eksekutif (yang melibatkan Perdana Menteri dan jemaah menteri) juga adalah satu budaya tidak sihat yang perlu diubah. Apatah lagi jika ia turut merebak kepada pertelingkahan antara parti politk dan pakatan politik yang tertentu.
8. Setelah hampir 63 tahun merdeka, kita sepatutnya sudah matang dalam berpolitik dan tidak berpaut pada mana-mana individu pemimpin yang tertentu dalam menentukan perjuangan serta agenda negara, apatah lagi jika pemimpin tersebut telah terpalit dengan isu rasuah (sama ada dibicarakan mahkamah atau tidak).
9. Kita juga tidak sewajarnya menggadaikan masa depan negara kepada para pimpinan dan pengikut parti politik yang seakan seperti semut, berkerumun mengelilingi gula (ganjaran material dan kedudukan/status) secara membabi buta sehingga mengenepikan agenda pembangunan tamadun, kelestarian ekonomi dan kebajikan rakyat yang jauh lebih penting.
10. Semua kefahaman ini hanya dapat direalisasikan oleh golongan pejuang dan pemimpin negara berwajah baharu yang berintegriti tinggi dan berwawasan jauh. Paling penting, mereka ini amat berani untuk keluar dari bayang-bayang pemimpin negara yang telah lama, tua dan telah tamat tarikh luput.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan