KOTA
BHARU - Kerajaan Kelantan membenarkan solat sunat Aidiladha, namun
perlu mengikut kapasiti masjid mahupun surau di negeri ini setelah
mengambil kira penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter antara
jemaah.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan
Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam
Tengku Abdul Aziz berkata, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, perkenan
agar solat sunat Aidiladha dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan
Pemulihan (PKPP) dibuat secara terkawal bagi mengawal penularan
koronavirus (Covid-19).
Menurutnya,
jemaah berumur 70 tahun ke atas hanya dibenarkan kepada 30 orang dan
ditempatkan di ruang yang khusus bagi masjid yang berkapasiti melebihi
500 individu.
"Jemaah yang bergejala atau menghidap penyakit kronik dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan hadir.
"Selain
mematuhi penjarakan sosial 1 meter, semua jemaah yang hadir hendaklah
membawa sejadah sendiri, memakai pelitup muka dan mengambil air wuduk di
rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya,
masjid, surau dan musala hanya akan dibuka satu jam sebelum waktu solat
dan akan ditutup selepas solat disempurnakan.
"Jawatankuasa
masjid dan jemaah hendaklah sentiasa mengamalkan normal baharu dengan
mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu melakukan
pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan serta kawasan sekitarnya
termasuk tandas dan tempat mengambil air sembahyang.
"Jawatankuasa masjid atau surau juga perlu mempunyai petugas yang mencukupi bagi membantu kawalan jemaah.
“Kehadiran
jemaah perlu direkodkan dalam aplikasi MySejahtera atau borang daftar
hadir atau dalam buku kehadiran yang mesti disimpan sekurang-kurangnya
dalam tempoh dua minggu,” katanya.
Katanya,
jemaah wanita juga dibenarkan solat namun perlu diberi keutamaan kepada
jemaah lelaki sekiranya tempat solat di masjid tidak mempunyai ruang
mencukupi untuk semua jemaah.
"Jemaah tidak
dibenarkan bersalaman selain tidak boleh berkumpul setelah selesai
aktiviti sama ada di dalam atau di luar masjid, surau dan musala.
"SOP ini hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan