Jumaat, 24 Julai 2020

2 ditahan disyaki tipu wang sumbangan anak yatim

Nik Ezanee Mohd Faisal.

KUALA LUMPUR: Polis menahan 2 wanita tempatan disyaki terlibat dalam kegiatan menipu wang sumbangan untuk rumah anak yatim yang tidak wujud melibatkan kerugian dianggarkan bernilai RM500,000 dalam 2 serbuan berasingan, semalam.

Ketua Polis Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kedua-dua suspek, masing-masing berusia 34 dan 24 tahun itu ditahan di Kajang, Selangor dan Tanah Merah, Kelantan.

Kegiatan mereka terbongkar awal bulan ini selepas seorang lelaki berusia 72 tahun yang juga ahli perniagaan mendapati wang sumbangan dikatakan suspek untuk disalurkan kepada anak-anak yatim sejak 2017 itu sebenarnya tidak wujud.

“Ahli perniagaan itu bersama-sama rakannya telah pergi ke lokasi dikatakan rumah anak-anak yatim di Tanah Merah, Kelantan; Simpang Empat, Pulau Pinang; dan Ipoh, Perak untuk melawat namun didapati semua penempatan itu tidak wujud,” katanya dalam kenyataan.

Nik Ezanee berkata kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan seorang daripada suspek direman 4 hari manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Tiada ulasan: