PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata kerajaan harus pertimbangkan alternatif lebih baik daripada menghidupkan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) untuk menguatkan jentera maklumat kerajaan.
Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia percaya fungsi Jasa lapuk di zaman Internet dan media sosial.
Namun Puad Zarkashi, bekas ketua pengarah Jasa tidak bersetuju, mengatakan jabatan itu masih relevan sebagai badan kerajaan untuk menyebarkan maklumat dan melawan pembohongan terhadap pemerintah.
Beliau berkata keputusan untuk menghidupkan Jasa bukti keputusan Pakatan Harapan memansuhkan jabatan itu suatu kesilapan dan penuh dendam. “Ia membuktikan Jasa berkesan melawan dakwaan DAP dan jentera yang berkesan dalam menyebarkan maklumat kerajaan.”
Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin mengumumkan Jasa yang dimansuhkan apabila PH menjadi kerajaan pada 2018 akan dihidupkan semula.
Jabatan itu, seperti mana Biro Tata Negara, dikritik sebagai cabang propaganda Umno serta disalahgunakan untuk indoktrinasi penjawat awam.
Mengulas kritikan itu, Syed Arabi berkata Jasa “baharu” itu harus tanpa sebarang politik.
“Rakyat boleh nampak apabila agensi kerajaan mula bermain politik, dan apabila itu berlaku sebarang maklumat yang mereka kumpul di lapangan jadi tidak tepat. Jasa harus berfungsi sebagai sebahagian penjawat awam, dan bukan diketuai ahli politik.
“Ia jadi relevan hanya jika ia melengkapkan komunikasi kerajaan tanpa melibatkan politik.”
Syed Arabi berkata secara idealnya, kerajaan harus mengkaji cara menyebarkan maklumat dan mendapatkan maklum balas di lapangan yang lebih cekap dan berkesan dari segi kos.
Ia boleh dilakukan dengan memanfaatkan teknologi dan media sosial, katanya. Kerajaan juga boleh perkuatkan Jabatan Penerangan dengan lebih banyak sumber.
Puad berkata kerajaan perlukan pelbagai agensi untuk menyebarkan maklumat dan melawan pembohongan. “Kenapa hanya Jasa ditutup? Kenapa RTM, TV3, dan Jabatan Penerangan tidak ditutup?” katanya, dan menambah pentadbiran lepas juga menggunakan pelbagai agensi.
“Tugas mereka adalah mempertahankan kerajaan termasuk semasa pentadbiran PH.”
Puad berkata Jasa menggunakan pelbagai pendekatan termasuk media sosial, interaksi bersemuka, dan penerbitan bahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan