PETALING JAYA: Bahwandi Hiralal sedih apabila bercakap tentang rakan seperjuangan dalam pasukan bola sepak Malaysia ke Sukan Olimpik 1972.
“Seorang demi seorang tinggalkan kita, yang masih hidup hanya beberapa kerat sahaja,” kata bekas pemain tengah itu kepada FMT.
Di Munich tahun itu, Bahwandi dan pasukannya menjadi rakyat Malaysia pertama yang pernah bermain bola di peringkat final.
Kira-kira 48 tahun kemudian, mereka satu-satunya rakyat Malaysia yang pernah berbuat demikian. Satu lagi skuad layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow tetapi terlepas kerana boikot tahun itu.
Nama kebanyakan pemain skuad 1980 itu terkenal termasuk dalam kalangan generasi muda, tetapi Bahwandi, Lim Fung Kee, Rahim Abdullah dan rakan lain agak tidak dikenali.
“Saya rasa agak malang apabila kami tidak mendapat pengiktirafan. Ketika itu rakyat begitu bersemangat kerana kita menang perlawanan di tanah air dan layak ke sana,” katanya.
Namun, Bahwandi yang juga bekas polis berkata, hakikatnya skuad 1972 juga layak ke Sukan Olimpik, termasuk menewaskan pasukan Amerika Syarikat.
Sebelum ini, bekas penyerang James Wong, yang menjaringkan gol kemenangan untuk membawa Malaysia ke Sukan Olimpik 1980, antara yang kecewa skuad 1972 tidak mendapat pengiktirafan sama.
“Walaupun negara mengiktiraf kami sekarang, bagaimana dengan mereka yang sudah meninggal dunia? Mereka semua ada isteri dan anak, bagaimana dengan mereka? ” kata Bahwandi.
Mengenai bagaimana dia mahu pasukan itu diiktiraf, Bahwandi berkata memadai dengan menerbitkan buku kisah mereka, yang beraksi ketika tiada pemain bola sepak profesional di Malaysia.
“Saya tidak minta apa-apa kepada sesiapa pun, tiada siapa peduli tentang kami,” katanya.
Lim, yang kini berada di Hong Kong berkata, mereka tiada apa-apa status dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia.
“Dulu kami ada pas pemain, jadi kami boleh tonton perlawanan. Sekarang, kalau saya mahu tengok Malaysia bermain, apa yang perlu saya buat? Beli tiket? Sejujurnya saya tidak tahu,” katanya.
Lim berkata, pemain bola sepak dulu bukannya sepenuh masa dan hanya bermain untuk negara.
“Kami bangga memakai jersi kebangsaan. Bagi saya, saya tidak berharap untuk dapat pengiktirafan sekarang, saya tak nampak apa gunanya minta diiktiraf,” katanya.
Dia sedih melihat bekas rakan sepasukannya, yang menderita seperti Namat Abdullah yang sedang melawan barah.
“Baguslah kalau diiktiraf tapi lebih penting kebajikan bekas pemain dijaga. Bagi saya itu sudah cukup,” katanya.
Sementara itu, Rahim yang bermain di posisi tengah berkata ketika pasukan kembali dari Munich, kisah mereka tidak ditonjolkan seperti pasukan 1980.
“Selepas kami layak, kami mengimpikan untuk melangkah ke padang itu dan ketika pulang, ada perarakan kereta membawa kami ke rumah Harun Idris,” katanya.
Harun ketika itu menteri besar Selangor dan pengurus pasukan skuad 1972.
Rahim percaya anggota skuad berkenaan layak mendapat gelaran Datuk kerana hanya segelintir yang mengecapi tahap itu.
Selepas bersara daripada bola sepak, hanya beberapa anggota skuad 1972 diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan.
“Ramai antara kami dilupakan. Standard bola sepak kita merosot sekarang, saya rasa pengalaman kami perlu dimanfaatkan, seperti untuk mencari bakat baru.
“Kami masih mahu berkhidmat untuk negara, kami juga tidak perlu dibayar, kami akan melakukannya secara percuma, hanya babitkan kami,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan