Jumaat, 24 Julai 2020

Pulau Pinang catat 1,238 kes jenayah komersial babit kerugian RM37.3 juta hingga Jun tahun ini

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang Mohd Rosni Mohd Lazim berkata,
peningkatan kes jenayah komersial di negeri itu sangat membimbangkan dengan 1,238
orang menjadi mangsa membabitkan 643 lelaki dan 595 wanita. (Gambar AFP)

GEORGE TOWN: Sebanyak 1,238 kes jenayah komersial membabitkan kerugian RM37.303 juta direkodkan di Pulau Pinang sejak Januari hingga Jun tahun ini, meningkat sebanyak 27.5% berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, bagi tempoh 6 bulan pertama tahun lepas, sebanyak 972 kes direkodkan dengan jumlah kerugian dicatatkan sebanyak RM60.452 juta.

“Peningkatan kes ini sangat membimbangkan dengan 1,238 orang menjadi mangsa penipuan membabitkan 643 lelaki manakala 595 wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya berdasarkan statistik, pihaknya mendapati jenayah komersial melibatkan penipuan yang mengakibatkan kerugian besar adalah “Love Scam, Macau Scam, Parcel Scam, Investment Scam”, pinjaman wang tidak wujud dan pembelian dalam talian palsu.

Bagi kes penipuan katanya, sebanyak 833 kes dilaporkan daripada 972 kes sejak Januari hingga Jun tahun lepas, manakala bagi tempoh sama tahun ini, kes meningkat kepada 1,132, yang melibatkan kerugian RM32 juta daripada keseluruhan kerugian RM37.303 juta.

Rosni berkata, polis tidak menolak kemungkinan terdapat banyak lagi kes komersial, terutama membabitkan penipuan yang tidak dilaporkan kerana mangsa enggan tampil membuat laporan polis.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang pernah menjadi mangsa agar tampil membuat laporan polis supaya pihaknya dapat menjalankan siasatan termasuk mengesan suspek terlibat.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar berhati-hati dan tidak mudah jatuh cinta atau tertarik dengan pesanan daripada orang yang tidak dikenali serta jangan mudah terpedaya dengan janji manis seperti pulangan pelaburan yang menarik.

“Tidak ada pelaburan yang menawarkan pulangan lumayan dalam waktu yang singkat dan lebih penting lagi, jangan menjadi sebahagian daripada sindiket dengan memberikan akaun bank anda digunakan untuk menerima wang daripada hasil penipuan,” katanya.

Katanya orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa memeriksa portal seperti ‘Semakmule’ atau laman sesawang http://biztrust.ssm.com.my sebelum terlibat dalam sebarang pelaburan, urus niaga dan mereka boleh menghubungi talian penting JSJK di 013-2111222 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Tiada ulasan: