Jumaat, 13 Mac 2020

Papan tanda Jawi: Peniaga di Kuantan dibenar cabar pihak berkuasa

Iklan tulisan Jawi di sebuah jejantas di Kuantan. Bermula tahun 
ini semua premis perniagaan dan tanda jalan di Pahang dikehendaki 
menggunakan tulisan Jawi. (Gambar Bernama)
 
PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi di Kuantan akan mendengar permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh 3 orang peniaga terhadap Majlis Perbandaran Kuantan dan kerajaan Pahang bagi membatalkan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda di premis mereka.

Peguam T Gunaselan yang mewakili Jehan Abdullah, Phang Long Yen dan A Dana Palan berkata, hakim Zainal Azman Abdul Aziz memberi kebenaran kepada anak guamnya untuk mencabar proses pembuatan keputusan majlis berkenaan dan kerajaan negeri.

“Kebenaran diberikan tanpa bantahan kerana tidak ada wakil daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang hadir,” katanya kepada FMT hari ini.

Gunaseelan yang dibantu oleh Siti Kasim berkata, hakim menetapkan 29 April depan untuk mendengar penghujahan substantatif.

“Kami akan menyerahkan kertas undang-undang kepada AGC, kerajaan negeri dan majlis sebagai persiapan untuk pendengaran itu,” katanya.

Jehan, Phang dan Dana Palan mahu Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan majlis mesyuarat exco negeri pada 1 Mac 2018 untuk menggalakkan penggunaan tulisan Jawi.

Mereka juga mahu pihak berkuasa tempatan menarik balik perintah bertarikh 3 April 2019 yang menghendaki semua premis perniagaan di bawah bidang kuasanya menggunakan tulisan Jawi pada papan tanda mereka.

Pada 31 Dis pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Abd Rahim Muda berkata, mereka yang ingkar arahan itu boleh didenda sehingga RM250.

Beliau berkata, lesen perniagaan pihak terbabit juga boleh ditarik balik jika mereka ingkar.

Pahang mengumumkan bahawa semua premis perniagaan dan tanda jalan di negeri itu dikehendaki menggunakan tulisan Jawi dengan saiz yang sama seperti tulisan Rumi.

Tiada ulasan: