Selasa, 17 Mac 2020

Orang Asli masih samar isu Covid-19, kata aktivis

 facebook sharing button
twitter sharing button
whatsapp sharing button
sharethis sharing button


PETALING JAYA: Komuniti Orang Asli di pedalaman tidak terkesan dengan situasi panik yang melanda masyarakat akibat wabak Covid-19 berikutan mereka masih tidak sedar sejauh mana berlakunya wabak itu, kata aktivis.

“Majlis perkahwinan masih berlangsung di mana-mana,” kata seorang wanita daripada suku Semai, Tijah Yak Chopil.

Beliau berkata, memandangkan tiada kes koronavirus yang dilaporkan di kawasan pedalaman ketika ini, tiada pendidikan dan kempen kesihatan mengenai wabak itu diadakan di kampung.

“Penduduk hanya mengetahui perkembangan terkini daripada media sosial.”

Ratusan kes dilaporkan media di seluruh negara dengan 12 pesakit mendapat rawatan di unit rawatan rapi malam tadi.

Menurut seorang penyelidik dari suku Semelai, Zanisah Sani berkata, penduduk Orang Asli di kampungnya masih dalam keadaan tenang.

Salmiah Anai dari suku Temuan di Kampung Sungai Raya di Seremban pula memaklumkan masyarakat di kampungnya hanya mendapat maklumat melalui aplikasi WhatsApp, dari mulut ke mulut dan platform sosial media lain.

“Tiada langsung kempen kesedaran yang dijalankan di sini,” katanya sambil menambah terdapat banyak kekeliruan timbul mengenai isu terbabit.

Beliau berkata, aktiviti dan himpunan besar masih diadakan dengan ramai orang dari jauh datang untuk menyertainya.

“Semuanya masih berjalan seperti biasa.”

Pakar Orang Asli, Alberto Gomes berkata kebanyakan penduduk di pedalaman masih tidak menyedari mengenai virus itu.

“Ahad lalu saya melawat kampung Orang Asli di Selangor,” katanya kepada FMT.

“Mereka tahu ‘penyakit baru’ sedang merebak, tapi ketika itu jumlah pesakit masih rendah di Malaysia.”

Colin Nicholas dari Center for Orang Asli Concern menyambut baik langkah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menghalang orang luar memasuki kawasan perkampungan di Semenanjung bagi mengekang jangkitan.

“Ia langkah positif dan tindakan yang tepat,” katanya sambil menambah kes yang tidak dilaporkan setakat ini tidak bermakna ia tidak wujud.

Beliau turut memberi amaran mengenai kesan jika Orang Asli terdedah kepada masyarakat di kawasan yang dijangkiti wabak berikutan sistem imunisasi mereka yang rendah terhadap jangkitan.
“Ia boleh membahayakan.”

Nicholas mengesyorkan supaya kerajaan menggunakan platform seperti radio Orang Asli, Asyik fm untuk meningkatkan kesedaran mengenai penularan Covid-19.

Tiada ulasan: