Selasa, 3 Mac 2020

Muhyiddin mahu fokus isu sara hidup, pendidikan, kesihatan

MALAYSIAKINI
 Malaysiakini


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berikrar menjadikan isu kos sara hidup, penjagaan kesihatan dan pendidikan rakyat antara keutamaan beliau sebagai ketua kerajaan.

"Saudara memerlukan wang untuk membeli barang keperluan harian, membeli buku dan keperluan sekolah untuk anak-anak, membayar bil air, eletrik dan sewa rumah, membayar pinjaman kereta dan kediaman, serta lain-lain keperluan untuk menyara kehidupan sekeluarga.

"Saya juga tahu bahawa antara perkhidmatan yang paling diperlukan oleh saudara dan saudari ialah perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dengan kos yang berpatutan.

"Ini juga akan menjadi keutamaan saya," katanya dalam perutusan khas yang disampaikan secara langsung di kaca televisyen malam ini.

Ini merupakan ucapan sulung beliau yang ditujukan kepada rakyat Malaysia selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, semalam.

Dalam perutusannya Muhyiddin berkata beliau akan memastikan penjagaan kesihatan yang berkualiti  dan menggunakan pengalaman selama enam tahun sebagai Menteri Pelajaran untuk memastikan tahap pendidikan negara setanding negara maju.,

Muhyiddin yang pernah mencetuskan kontroversi apabila mengatakan dirinya "Melayu dahulu" pada tahun 2010,  berkata beliau adalah perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia.
"Saya adalah perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah.

"Baik saudara orang Melayu, saudara orang Cina, saudara orang India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, orang asal, atau apa jua kaum dan etnik, saya adalah perdana menteri saudara.

"Sama ada saudara adalah petani, saudara nelayan, saudara peniaga, saudara penjawat awam, saudara pekerja swasta, saya adalah perdana menteri saudara," katanya.

'Beri peluang manfaatkan pengalaman 40 tahun'

Dalam pada itu, Muhyiddin merayu agar rakyat Malaysia memberikan sokongan padu kepadanya untuk memikul amanah dan tanggungjawab besar sebagai perdana menteri.

"Berilah saya peluang untuk memanfaatkan 40 tahun pengalaman saya dalam politik dan kerajaan untuk mengemudi Malaysia ke arah kegemilangan.

"Saya tawarkan jiwa dan raga saya untuk negara. Berikan saya sedikit masa untuk menetapkan garis-garis utama hala tuju kerajaan dan negara di bawah pentadbiran baharu ini yang insyaAllah akan saya jelaskan kepada rakyat dalam masa terdekat," jelasnya.

Ini merupakan ucapan sulung Muhyiddin yang ditujukan kepada rakyat Malaysia selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, semalam.

Presiden Bersatu itu kini bersama BN, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membentuk sebuah kerajaan baru.

Bagaimanapun, jumlah sebenar anggota parlimen yang menyokong beliau dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak diketahui kerana angka yang berubah-ubah. Namun kedua-duanya mendakwa mempunyai majoriti.

Sokongan majoriti kepada perdana menteri hanya akan dapat ditentukan apabila parlimen bersidang semula.

Tiada ulasan: