Memandu ke Kampung Busut Baru, anda pada mulanya akan disambut satu demi satu projek perumahan mewah.
Semua
projek ini 'menjual' satu ciri yang serupa - kelebihan hidup dekat
dengan alam sekitar tetapi pada masa sama tidak terlalu jauh dengan
bandar raya seperti Shah Alam, Putrajaya dan Subang Jaya.
Bagaimanapun
tidak jauh daripada kediaman berpagar mewah ini, masyarakat Orang Asli
Temuan bimbang mereka bakal kehilangan kawasan hutan yang sangat
dihargai mereka, demi memberi laluan kepada projek pembangunan yang
serupa.
Malaysiakini berkunjung ke kampung Orang Asli di sana pada tengah hari Jumaat.
Kanak-kanak
sudah pun menukar seragam sekolah untuk bermain di luar, orang lelaki
pula mengayuh basikal menuju ke ladang untuk mengait buah kelapa sawit.
Kampung
ini cukup dengan kemudahan asas seadanya. Untuk 85 keluarga, dengan
kira-kira 600 orang, ia dilengkapi padang, sekolah, tadika, dewan
komuniti, jalan bertar, serta bekalan air dan elektrik.
Banyak
kawasan di kampung terletak bersebelahan dengan pinggir Hutan Simpan
Kuala Langat Utara, yang menjadi tempat untuk Bonet Baba, 70 tahun,
memetik sayuran untuk makan malam atau buluh untuk kegunaan.
Ada
kala dia ke sana untuk memetik tumbuhan herba seperti Kacip Fatimah,
Tongkat Ali atau apa yang dipanggil mereka sebagai Tunjang Bumi, untuk
keluarga dan penduduk yang memerlukan.
"Biasanya kami rebus herba, daun dan akarnya sekali, untuk diminum perempuan yang baru beranak.
"Tumbuhan ini hanya ada dalam hutan saja kerana keadaannya yang sejuk," katanya ketika ditemui Malaysiakini di sebuah kedai di kampung itu.
Bonet Baba
Selain
menjadi tempat mencari sumber, hidup di samping pokok-pokok di hutan
simpan mengingatkannya kepada kampung lamanya - Kampung Busut.
"Masuk tengok suasana hutan, rasa macam kampung lama. Kampung lama kan banyak hutan," katanya mengimbas kembali.
Pada
1993, masyarakat Kampung Busut terpaksa berpindah daripada tempat
tinggal asal mereka di Sepang - di mana mereka hidup selama banyak
generasi - untuk memberi laluan kepada pembinaan Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kerajaan memberikan mereka tanah
seluas 1,000 ekar di satu kawasan yang terletak kira-kira 40 km dari
situ sebagai pampasan. Dan disitulah mereka tinggal sehingga hari ini.
Bercakap
tentang kampung lamanya, Bonet hampir mengalirkan air mata. Dia
menyatakan kekesalannya kerana tidak akan dapat menunjukkan tempat
tinggalnya kepada lima cucunya.
Tunjang Bumi
Dia bagaimanapun sekurang-kurangnya dapat mewariskan pengetahuan tentang hutan apabila membawa mereka ke hutan simpan itu.
Maka
dia berharap kerajaan Selangor akan menimbang semula cadangan untuk
membatalkan pewartaan hutan simpan terhadap 97.1 peratus (930.93 hektar)
kawasan hutan itu untuk projek pembangunan bercampur.
Lepas terbakar, lahir semula
Sebelum
ini Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mencadangkan kawasan itu
dibangunkan kerana menurutnya 40 peratus kawasannya sudah menjadi hutan rosot akibat kebakaran yang pernah berlaku.
Dia
juga berkata hutan simpan itu berdepan risiko kegiatan pembakaran haram
dan memberi ancaman kepada projek perumahan yang bakal dibina di
sekitarnya.
Bagi Tok Batin Kampung Busut Baru Sari Senin, dia
melihat hutan itu kembali 'hidup semula' selepas kebakaran yang berlaku
pada 2015.
Kumpulan alam sekitar seperti Global Environmental
Centre (GEC) telah bekerjasama dengan pelajar dari sekolah di kampung
itu untuk menganjurkan program rehabilitasi hutan di mana pokok-pokok
ditanam semula.
"Sudah lima tahun tak ada kebakaran," kata Sari kepada Malaysiakini.
Sari Senin
Sari
yang masuk ke hutan simpan beberapa kali seminggu, berkata di pernah
melihat tupai pigmi, beruang madu, tapi dan malah harimau kumbang di
dalamnya.
Sebagai hutan paya gambut, dan Sari menegaskan ia banyak
membantu untuk mengelakkan kampung mereka dilanda banjir ketika hujang
lebat.
"Kalau kawasan dibangunkan dan permukaannya ditutup, di mana air hujan akan pergi?
"Pastinya air akan turun di kawasan kampung," katanya lagi.
Tambahan pula, katanya, haiwan liar juga akan masuk ke kampung dan menjadi ancaman kepada penduduk jika hutan itu dibangunkan.
Aniza Gang
Malaysiakini kemudian dibawa oleh Aniza Gang ke kawasan hutan simpan yang terjejas akibat kebakaran lima tahun lalu.
Wanita
berusia 28 tahun itu menunjukkan pokok-pokok Mahang yang meninggi
dengan dahan dan daun yang membentuk kanopi, melindungi tumbuhan di
bawah daripada sinaran matahari secara terus.
"Saya tak rasa ini hutan rosot.
"Hutan dulu yang terbakar pun sekarang nampak bersemangat. Sudah nampak anak-anak pokok dulu sudah membesar," katanya.
Aniza
(bawah) hanya berusia setahun ketika keluarganya berpindah dari kampung
lama. Inilah satu-satunya hutan yang dikenalinya dan sejak kecil lagi
sering ke hutan bersama-sama ibu bapanya.
Buka mata nampak pokok, bukan konkrit
Sebelum
ini, Amirudin memberi jaminan bahawa cadangan pemansuhan status hutan
simpan tidak akan menjejaskan mana-mana kampung Orang Asli serta kawasan
rayau mereka.
Ia bagaimanapun gagal meyakinkan masyarakat Orang
Asli, dan empat kampung - termasuk Kampung Busut Baru - telah
bersama-sama membantah rancangan itu.
Semalam (5 Mac) adalah hari
terakhir untuk para pemegang taruh menghantar maklum balas daripada sesi
pendengaran awam rancangan itu, dan NGO Gabungan Melindungi Hutan
Negeri Selangor memberitahu The Malaysia Insight bahawa pihaknya sudah menghantar sejumlah 13,000 surat bantahan.
Selepas
ini Jabatan Perhutanan Selangor akan menilai semua maklum balas dan
menggabungkannya kepada satu laporan untuk dihantar kepada kerajaan
negeri.
Sesi bersama pemegang taruh akan diadakan kemudian.
Sari
sendiri telah menghantar dua surat bantahan bagi pihak kampungnya,
menegaskan bantahan mereka kepada projek pembangunan bercampur dan juga
cadangan landasan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan melalui sebahagian
kawasan kampung.
ECRL sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa
mereka mahu "mengelak" pembatalan status hutan simpan dan lebih
cenderung untuk memohon permit pengguna untuk menggunakan sebahagian
daripada kawasan yang dilindungi itu.
Selain kembimbangan bahawa
pembatalan status akan memberi kesan kepada kehidupan dan keselamatan
Orang Asli, Sari juga tidak mahu lima anaknya membesar dalam 'hutan
konkrit'.
Berjauhan dengan hutan akan menghakis identiti Temuan mereka.
"Apabila mereka sudah besar nanti, mungkin mereka tak akan selalu tengok hutan.
"Bila bangun dari tidur, mereka hanya tengok batu-batu," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan