Jalan
bagi perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015) atau
hudud sebagaimana yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan
pada 18 Mac 2015 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas)
Terengganu 2002 kini terbentang luas kata seorang peguam.
Pengerusi
Pertubuhan Pengamal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Proguam)
Kelantan, Hisham Fauzi, peluang untuk pelaksanaan dua enakmen itu tidak
lagi berdepan halangan kerana kerajaan persekutuan kini dikuasa
Perikatan Nasional (PN) dengan PAS menjadi sebahagian daripadanya.
Kata Hisham, Kelantan dan Terengganu juga kini tidak lagi menjadi negeri pembangkang seperti sebelum ini.
"Kerajaan
PAS di Kelantan dan Terengganu mempunyai wakil yang berkuasa di
peringkat pusat, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin
Hassan, dan Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk
Shaary.
"Untuk
melaksanakan enakmen hudud ini, kerajaan Malaysia hanya perlu kemukakan
usul pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965
(Akta 355) di mahkamah untuk meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah
daripada hukuman maksimum tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam
kali sebatan kepada tahap yang membolehkan hudud dilaksanakan.
"Kuasa
untuk menyusun aturan urusan dewan adalah tertakluk kepada Yang
di-Pertua Dewan Rakyat, tetapi menteri yang bertanggungjawab ke atas
parlimen mempunyai legitimasi untuk memastikan bahawa usul meminda Akta
355 boleh dibawa dan menjadi keutamaan dalam senarai aturan urusan
mesyuarat Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.
Semalam Malaysiakini
melaporkan Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah, beranggapan masih
terlalu awal untuk perbincangan mengenai perkara itu dilakukan dan pada
masa sama kerajaan persekutuan perlu memberi keutamaan kepada perkara
asas dalam pentadbiran terlebih dahulu.
Takkan tak boleh setuju
Sementara
iti Hisham berkata, beliau antara individu yang terlibat sejak awal
dalam proses penggubalan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2005).
"Kemudiannya saya juga terlibat berunding dengan kerajaan pusat ketika itu di bawah BN.
"Perkembangan sekarang adalah amat kondusif bagi perlaksanaan hudud di Malaysia dalam masa terdekat ini. Sekaranglah masanya.
"Malah
bagi negeri-negeri yang belum ada enakmen hudud di semenanjung, Sabah
dan Sarawak, inilah masanya untuk DUN negeri berkenaan tersebut segera
menggubal enakmen berkenaan," ujarnya.
Tambah
Pengarah Undang-undang PH Kelantan itu, sebagai langkah pengukuhan
tambahan, menteri bertanggungjawab boleh membawa usul pindaan kepada
Jadual 9 Perlembagaan Malaysia agar tiada lagi sebarang pertikaian
mengenai keabsahan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015) dan
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 itu.
"Ini untuk menyelesaikan dakwaan bahawa enakmen tersebut adalah melanggar Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.
"Ia juga demi memberi jalan seluas-luasnya ke arah pelaksanaan enakmen hudud tersebut.
"Selain
itu, dengan sistem whip yang diamalkan di Malaysia, sokongan
keseluruhan ahli parlimen daripada PN akan dapat digemblengkan bagi
menjayakan usaha yang sekian lama diidam-idam oleh PAS.
"Takkanlah
ada ahli parlimen PN tak boleh bersetuju dengan usul daripada menteri
PN sendiri, mereka perlu buktikan kesepaduan kerjasama," kata Hisham.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan