Selasa, 3 Mac 2020

Hari 86: Kesilapan pada sapina, KP SPRM tangguh beri keterangan

LANGSUNG | Perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana dari SRC International Sdn Bhd memasuki hari 86 hari ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Perbicaraan pagi ini merupakan yang pertama selepas pertukaran perdana menteri.

Malaysiakini membawakan anda laporan langsung prosiding.


LANGSUNG

9.47 pagi: Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya tiba di mahkamah.
Beliau kemudian berkata tidak dapat memberi keterangan hari ini, dan hanya dapat berbuat demikian pada Khamis ini.

Terdahulu, peguam Muhammad Shafee Abdullah menjelaskan kepada mahkamah bahawa ada kesilapan dalam sapina terhadap Latheefa, dan berkata dia hanya boleh memberi keterangan pada hari yang lain.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membenarkan Latheefa untuk memberi keterangan pada Khamis ini.



9.37 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak masuk ke kandang tertuduh dan perbicaraan pun bermula.



Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya antara saksi yang sedia dipanggil pembelaan dalam perbicaraan terhadap Najib Razak berhubung dakwaan penyalahgunaan dana SRC International berjumlah RM42 juta hari ini.

Semalam, di akhir perbicaraan, ketua pembelaan Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Latheefa dan bekas penasihat undang-undang MIC, Selva Mookiah adalah dua saksi yang akan dipanggil hari ini.

Pembelaan mahu memanggil Latheefa untuk memberi keterangan berkenaan pendedahan SPRM pada 8 Januari lalu, berkenaan rakaman audio perbualan didakwa melibatkan tertuduh dengan beberapa individu berkaitan skandal 1MDB.

Semalam, pendakwaan cuba menyerahkan buletin Jakim bertarikh Februari 2010, dalam usaha menunjukkan keberadaan menteri di jabatan perdana menteri ketika itu, Jamil Khir Baharom pada 11 Januari tahun itu.

Buletin Jakim itu didakwa menyatakan Jamil, yang bertanggung dalam hal ehwal Islam, berada di satu program di Putrajaya pada tarikh tersebut.

Ketika perbicaraan 11 Februari lalu, Jamil Khir berkata beliau merupakan sebahagian delegasi Najib ke Arab Saudi dan pada tarikh itu (11 Januari 2010), Allahyarham Raja Abdullah Abdulaziz al Saud dikatakan berjanji memberi derma kepada Najib.

Bagaimanapun, peguam Najib semalam membantah buletin itu dijadikan bukti.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian hanya membenarkan dokumen itu dijadikan ID (identification dokumen) dan bukannya eksibit (ID bermaksud ketika prosiding, seorang saksi yang boleh dirujuk kepada dokumen itu tanpa kandungannya dibaca di mahkamah).

Hari ini, pasukan pembelaan dijangka turut meneruskan pemeriksaan semula saksi kesembilan mereka, penolong pesuruhjaya SPRM Mohd Nasharudin Amir.

Tiada ulasan: