Selasa, 15 Oktober 2019

Kaitkan PAS dengan LTTE usaha jahat, kata timbalan presiden

Mohamad Fadli
 -

PAS mengucapkan terima kasih kepada semua termasuk pihak polis dalam usaha memerangi LTTE.
KUALA LUMPUR: PAS berkata usaha pihak tertentu mengaitkan parti itu dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) disifatkan sebagai usaha jahat terhadap mereka.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan perlu disemak maklumatnya terlebih dahulu.
“PAS sudah nafikan dia bukan lagi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP),” katanya merujuk US Subramaniam yang ditahan pihak polis atas dakwaan menyokong kumpulan LTTE.
“Individu itu bukan lagi ahli DHPP dan dia juga sudah hantar surat rasmi keluar parti,” kata Tuan Ibrahim di lobi Parlimen, hari ini.
Sebelum itu, Ketua Penerangan DHPP, G Balachandran berkata Subramaniam hanya menyertai ahli parti itu tidak sampai lima bulan dan meletak jawatan selepas pilihan raya umum lalu.
Balachandran berkata cubaan mengaitkan individu tersebut masih mempunyai kaitan dengan PAS hanya untuk memburukkan imej parti itu.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata PAS mengucapkan terima kasih kepada semua termasuk pihak polis dalam usaha memerangi LTTE.
“Tindakan mereka bercanggah dan melanggar peraturan dan undang-undang negara, tak kira daripada mana parti, agama atau kaum.”
Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim bertegas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berbohong mengenai pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Kelantan.
Beliau yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata PAS mempunyai maklumat dan kiraan yang sepatutnya dibayar oleh kerajaan persekutuan.
“Sehingga kini Kelantan tidak terima sebarang royalti, yang dibayar dalam bentuk ehsan dan kita anggap wang ehsan tidak betul.
“Kedua tak dibayar kepada kerajaan negeri, cuma dibayar kepada agensi, iaitu kepada Majlis Agama Islam Kelantan,” katanya.


Tiada ulasan: