Ustaz Muhammad Firdaus bin Zalani
Tak salah tukar istilah tapi kena kekal asas sama iktiraf kedaulatan Islam
SEMALAM
Menteri Agama, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa ada menyebut bahawa konsep
kafir zimmi dan kafir harbi sudah lagi tidak terpakai dengan wujudnya
sistem kewarganegaraan. Bagi saya ini adalah satu pandangan yang sangat
bermudah serta tidak melihat konsep siyasah shar’iyyah secara
menyeluruh.
Asasnya,
berdasarkan perbahasan siyasah shar’iyyah oleh ulama terdahulu, ulama
hari ini seperti al-Qaradawi, Abu Faris, al-Khayyat dan lainnya telah
meletakkan terdapat tiga asas thawabit (kekal) yang menjadi tiang utama
kepada konsep politik Islam. Bahaslah mana-mana bahagian dalam siyasah
pun ia tidak akan dapat lari daripada salah satu tiang ini. Tiga
tersebut adalah kedaulatan Islam (siyadat al-shari’ah), syura (al-shura)
dan keadilan (al-‘adalah).
Berdasarkan
asasnya ini sahaja pun sudah cukup untuk menolak pandangan-pandangan
yang menyatakan bahawa siyasah itu adalah keadilan semata-mata atau
siyasah itu adalah demokrasi berdasarkan syura. Hakikatnya siyasah
shar’iyyah jauh lebih menyeluruh daripada nilaian tersebut.
Pada siyasah
itu ada aqidahnya (kedaulatan Islam), ada sistemnya (syura) serta ada
nilai utamanya (keadilan) menjadikan konsep politik Islam jauh berbeza
dengan konsep politik lainnya.
Jadi
apabila difahami asas ini barulah boleh berbahas tentang kafir
harbi-zimmi. Oleh kerana ia adalah salah satu perbahasan dalam siyasah
maka sudah tentu terdapat salah satu asas yang telah disebutkan
mendasari konsep ini. Asas tersebut ialah kedaulatan Islam.
Konsep
kedaulatan Islam dalam masyarakat meletakkan asasnya seluruh individu
tanpa mengira agama mempunyai tanggungjawab untuk mengiktiraf kedaulatan
Islam. Atas sebab inilah masyarakat ini dinamakan mujtama’ islami atau
ummah (seperti dalam piagama Madinah), kesepakatan mereka bukan menganut
agama yang sama tetapi mengiktiraf prinsip yang sama iaitulah
kedaulatan Islam.
Dalam
piagam Madinah, ramai yang mengambil hujah bagaimana Nabi SAW
mengiktiraf orang yahudi dan bangsa-bangsa lain yang tidak menganut
Islam sebagai ‘satu ummah’ bersama orang-orang beriman namun mereka
tidak melihat mengapa Baginda memberikan pengiktirafan tersebut pada
mereka.
Dalam
piagam tersebut jelas menunjukkan pengiktirafan itu diberikan atas
beberapa asas iaitu mengiktiraf Islam rujukan utama (fasal 23, 42),
mengiktiraf kepimpinan Muhammad bukan sebagai manusia biasa tetapi
sebagai utusan Allah (fasal 47), berjanji mempertahankan Madinah
daripada musuh Islam (fasal 46). Apabila semua ini dipenuhi barulah
layak menyebut mereka ‘satu ummah’ bersama orang beriman.
Pengiktirafan Islam juga menjadi asas dalam ayat Quran yang berbicara tentang konsep kafir zimmi:
قَـٰتِلُواْ
ٱلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَلَا بِٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ وَلَا
يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥ وَلَا يَدِينُونَ دِينَ
ٱلۡحَقِّ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡڪِتَـٰبَ حَتَّىٰ يُعۡطُواْ
ٱلۡجِزۡيَةَ عَن يَدٍ۬ وَهُمۡ صَـٰغِرُونَ
“Perangilah
orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada
hari akhirat dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah
diharamkan oleh Allah dan RasulNya dan tidak beragama dengan agama yang
benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan
Nasrani), sehingga mereka membayar “Jizyah” dengan keadaan taat dan
merendah diri.” (Surah al-Taubah: 29)
Al-‘Asqalani
meriwayatkan bahawa Imam al-Shafi’i menyebut yang dimaksudkan dengan
‘taat dan merendah diri’ وَهُمۡ صَـٰغِرُونَ)) ialah dalam keadaan mereka
rendah, tunduk serta mengiktiraf pemerintah, kepimpinan dan sistem
perundangan Islam dalam negara tersebut.
Jadinya
tindakan bermudah menolak terus konsep kafir harbi-zimmi adalah satu
tindakan yang tidak teliti dalam membahas siayasah shar’iyyah. Kafir
harbi-zimmi bukanlah setakat berbicara soal jizyah atau ‘halal darah’
semata, tetapi ianya mempunyai maqasid lebih asas iaitu isu kesetiaan
(wala’) setiap ahli yang berada dalam sebuah negara Islam. Jizyah adalah
lambang kesetiaan begitu jugalah diperangi atas asas hilangnya
kesetiaan.
Membayangkan
konsep kafir harbi-zimmi sebagai satu yang kejam sehingga tidak releven
untuk hari ini juga adalah tindakan yang tidak jujur dalam berbahas
siyasah shar’iyyah. Asas bermuamalat dengan baik jelas disebut dalam
ayat 8 Surah al-Mumtahanah. Mulianya konsep ini sehingga Baginda SAW
sendiri sanggup menjadi perisai bagi kafir zimmi yang dizalimi oleh
orang lain seperti dalam hadis. Tetapi kesemuanya berdiri atas asas
tidak memerangi Islam seperti dinyatakan pada permulaan ayat 8 dan ayat
selepasnya.
Kemudian
jika kita menilai isu ini dalam perspektif Malaysia ia adalah sangat
releven. Ini kerana Islam di negara ini merupakan salah satu teras
kenegaraan berdasarkan perlembagaan serta struktur kepimpinan negara.
Oleh itu seluruh individu dalam masyarakat majmuk di negara ini perlu
mengiktiraf kedaulatan Islam, sesiapa yang mempertikai atau menolak
perkara ini perlulah ditegur dan diperbetulkan kerana telah hilangnya
kesetiaan pada negara dalam jiwa mereka. Sebeanrnya inilah asas kepada
perbahasan konsep kafir harbi-zimmi.
Bagi saya,
tiada masalah untuk menukar istilah ini kepada istilah lain seperti
kewarganegaraan tetapi ia sepatutnya masih lagi kekal berdiri atas asas
yang sama iaitu mengiktiraf kedaulatan Islam.
Kalaulah
yang dimaksudkan dengan kewarganegaraan bahawa bukan Islam tidak lagi
perlu mengiktiraf Islam, boleh sesuka hati mempertikai Islam maka ia
telah jauh tersasar daripada siyasah shar’iyyah. Konsep kafir
harbi-zimmi mempunyai asas hak dan tanggungjawab, begitu jugalah
sepatutnya dalam konsep kewarganegaraan.
Tannggungjawab
itu hendaklah selamanya berdiri atas asas mengiktiraf kedaulatan Islam.
Kalau bukan ini maka ia bukanlah siyasah shar’iyyah.
*Ustaz Muhammad Firdaus bin Zalani, Penolong Setiausaha MUIS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan