Selasa, 1 Oktober 2019

iGuru tentang Sabah iktiraf UEC

siti hafidah 

 

Iktiraf UEC sukarkan lagi usaha bentuk perpaduan melalui pendidikan

BANGI – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Sabah mengecam tindakan kerajaan negeri mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan sektor perkhidmatan awam negeri baru-baru ini.

YDP iGuru Sabah, Asdar Siri berkata, pengiktirafan UEC di negeri itu membelakangkan peranan Jawatankuasa Kajian UEC yang ditubuhkan khas oleh Kementerian Pendidikan.

Beliau berpandangan, pihak kerajaan negeri perlu menghormati usaha KPM dalam menangani isu UEC yang masih dalam proses menunggu laporan jawatankuasa kajian terbabit.

“iGuru Sabah berpandangan bahawa UEC bukan sahaja bercanggah dengan Dasar Pendidikan Nasional, tetapi bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, kita menyokong pandangan pelbagai pihak yang turut menentang pengiktirafan UEC yang akan menyukarkan usaha pembentukan perpaduan melalui pendidikan,” katanya kepada Ismaweb.

UEC mendapat tentangan pelbagai pihak kerana sukatan pelajarannya bertentangan dengan Dasar Pendidikan serta Akta Pendidikan 1996.

Sijil UEC juga tiada kaitan dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia, dikelolakan Jawatankuasa Kerja Sekolah-sekolah Menengah Cina (MICSS) dan wakil-wakil dari Dong Jiao Zong.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menegaskan kerajaan belum mengiktiraf UEC, dan keputusan untuk mengiktiraf sijil berkenaan hanya boleh dibuat oleh kerajaan.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal Sabtu lalu mengumumkan negeri itu mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sektor perkhidmatan awam negeri.

Beliau berkata, ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan, bukan hanya masuk universiti tetapi masuk perkhidmatan awam negeri Sabah.


Tiada ulasan: