Ahad, 6 Oktober 2019

Dr M nafi laporan sokongan PH merosot





SHAH ALAM: Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penemuan sebuah badan pemikir yang mendakwa populariti Pakatan Harapan merosot daripada 80 peratus kepada 35 peratus tidak tepat.

Pengerusi PH itu berkata, sokongan rakyat kepada gabungan parti pemerintah masih kuat dengan mengambil kira kehadiran orang awam tiap kali pimpinan PH turun padang.

“Kita sedar ada pihak kata sokongan kepada PH daripada 80 peratus menurun kepada 35 peratus. Saya tidak tahu dari mana mereka buat kajian ini.

“Kadang-kadang bila ada kajian yang dibuat, bukan diambil secara keseluruhan, tetapi dengan mengambil kira sebilangan kecil dan pendapat mereka diambil seolah-olah mewakili semua.

“Kita berpendapat ianya tidak tepat. Setakat yang kita tahu, sokongan kepada kerajaan masih kuat,” katanya semasa sidang media pada temu rapat PH hari ini.

Perdana menteri berkata, walaupun kerajaan ditadbir lima parti politik dalam PH, pemimpin akan mengadakan perbincangan bersama dan membuat keputusan yang diterima semua pihak.

“Kami tidak takut kami akan berpecah belah,” katanya sambil menambah hubungan pemimpin dan ahli Parlimen PH akan ditingkatkan melalui temu rapat seperti hari ini.

Tiada ulasan: