Khamis, 7 Mac 2019

Pemimpin UMNO perlu berhati-hati beri kenyataan

Mohd Zaini Samsu Hadi
UMNO
Gelagat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) selepas sidang media pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin UMNO diingatkan agar perlu berhati-hati dalam memberikan sebarang kenyataan lebih-lebih lagi parti itu akan berdepan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau tidak lama lagi.

Peringatan itu diberikan oleh Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan apabila mahu pemimpin terbabit memikirkan kesan dan natijahnya daripada apa-apa kenyataan yang dikeluarkan.

Namun, beliau menegaskan UMNO tidak akan mengeluarkan arahan supaya mana-mana pemimpin atau anggota parti berdiam dan mengunci mulut.

Malah katanya, sebagai pemimpin, mereka sepatutnya tahu kenyataan atau pandangan yang boleh menguntungkan parti dan negara.

“Kami tidak ada sebarang arahan menutup mulut untuk sesiapa. Ini negara bebas, demokratik dan sesiapa saja boleh cakap apa mereka mahu.

“Tapi sebagai pemimpin mereka patut tahu apa yang mereka nak cakap, sama ada ia merosakkan parti atau negara, atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa kenyatan melibatkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Nazri Aziz yang menimbulkan kontroversi beberapa hari lalu.

Nazri dilihat membuat kenyataan tidak disenangi parti komponen gabungan itu sendiri, MCA, semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih yang lalu.

Bagaimanapun, Mohamad tidak merujuk tegurannya kepada Ahli Parlimen Padang Rengas itu.

Pada sidang media itu juga Mohamad secara rasminya mengumumkan akan mempertahankan kerusi DUN Rantau pada  PRK 13 April ini.

“Sayalah calon DUN Rantau, ada yang tidak bersetuju,” katanya kepada wartawan sambil berseloroh. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: