Rabu, 13 Mac 2019

Isu TARUC: Guan Eng akan ‘bunuh diri’ sendiri, kata bekas bos MCA

MALAYSIAKINI

   

Bekas presiden MCA Ling Siong Sik percaya Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan membunuh kerjaya politiknya dalam isu Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC).

Oleh itu, beliau menasihati presiden semasa MCA, Wee Ka Siong agar tidak membuang masa untuk melawan pemimpin DAP berkenaan.

"Saya nasihatinya jangan terlalu memarahi Lim. Dia akan ‘bunuh diri’ sendiri. Apabila dia bertindak ke atas TARUC, ini akan menjadi kesilapan terbesar dalam hidupnya.

"Tidak perlu memarahinya, rakyat akan memarahinya," kata Ling pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Walau bagaimanapun, Ling, ketika disoal oleh seorang wartawan, menafikan bahawa beliau bermaksud bahawa Lim akan membunuh diri secara literal.

Bekas presiden MCA itu mengulas mengenai kritikan Wee mengenai langkah Putrajaya untuk memotong dana TARUC dan pusat pengajian lain yang berkaitan dengan MCA.

Pada Bajet 2019, kerajaan memotong dana untuk TARUC sebanyak RM24.5 juta, dan memperuntukkannya dengan hanya geran RM5.5 juta. Institusi itu ditubuhkan semasa tempoh Ling.

Lim berkata TARUC layak mendapat geran berjumlah RM30 juta jika universiti itu memutuskan hubungannya dengan MCA.

Sementara itu, Ling, yang adalah presiden MCA dari 1986 hingga 2003, berkata TARUC telah menghasilkan "separuh" daripada akauntan bertauliah di negara dan melahirkan lebih 200,000 siswazah.

Beliau berkata dengan menyerang TARUC, Lim "menyalak pada pokok yang salah."


Tiada ulasan: