Isnin, 17 September 2018

‘Kutu’ langgar undang-undang, pelaku boleh dipenjara

ainulillia

Teknik simpan wang setiap bulan popular hingga sekarang satu kesalahan

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menegaskan aktiviti permainan ‘kutu’ adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

Jabatan itu melalui laman Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police berkata, kesalahan itu termaktub mengikut Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

“Salah di sisi undang-undang bagi mana-mana orang untuk menjalankan perniagaan menganjurkan kumpulan wang kutu dan mana-mana orang yang menjalankan perniagaan itu melakukan suatu kesalahan.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Jabatan itu turut memaklumkan bahawa terdapat beberapa kes apabila penganjur atau ‘ibu kutu’ yang menghilangkan diri bersama wang yang dibayar pelabur atau peserta.

“Tetapi, jika ibu kutu lari (menghilangkan diri), anda tetap boleh membuat laporan polis di balai berhampiran dan kebiasaannya kes ini akan dipindahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disiasat,” katanya.

Teknik bermain kutu ini adalah cara lama untuk menyimpan wang yang masih diamalkan sehingga sekarang, terutama di kalangan rakan sekerja di pejabat.

Wang yang dikumpul secara bulanan oleh sekumpulan peserta akan diberi mengikut kumpulan.


Tiada ulasan: