Jumaat, 28 September 2018

KEDUDUKAN ISA SAMAD DITENTUKAN JAWATANKUASA DISIPLIN



UMNO menyerahkan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk memutuskan kedududkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang membuat keputusan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kedudukan Isa sama ada akan dikenakan tindakan ataupun sebaliknya hanya akan ditentukan jawatankuasa disiplin.

“Kita serahkan kepada jawatankuasa disiplin untuk menentukan,” katanya kepada Watan Online selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, Khamis malam.

Sebelum itu Isa ketika dihubungi mengesahkan akan bertandijg pada PRK Port Dickson sebagai calon Bebas bagi menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerusi Port Dickson dikosongkan penyandangnya bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ahli parti itu sepatutnya akur dengan keputusan yang dibuat untuk memboikot PRK itu.

Oleh itu katanya, tindakan akan diambil sekiranya ahli menyertai PRK itu serta membantu kempen mana-mana calon yang bertanding.

“Kita boikot (PRK Port Dickson) kerana kita melihat PRK sengaja diadakan bagi menjayakan matlamat peribadi seseorang. Jadi ia tidak sepatutnya dibuat.

“Kita tentulah akan memantau mana-mana ahli parti yang menjadi calon dalam PRK dan kemudian akan diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk dikenakan tindakan mengikut yang diperuntukkan oleh parti.

“Tindakan perlu diambil supaya kita dapat menjaga keluhuran dan kredibiliti parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsul yang juga ahli Parlimen Lenggong berkata UMNO juga tidak membenarkan ahlinya menghulurkan bantuan kepada PAS yang telah mengesahkan penyertaan dalam PRK tersebut.

“Bila kita dah boikot maknanya mana-mana ahli tidak boleh melanggar dan terlibat langsung,” katanya.


Tiada ulasan: