Jumaat, 28 September 2018

PAS jadi mimpi ngeri Anwar di Port Dickson

 
   
PULASAN | Sekurang-kurangnya sudah dua hari Port Dickson tidak hujan. Sedangkan dua hari juga Kuala Lumpur hujan lebat.

Bahang panas yang biasa-biasa itu seakan-akan bakal menjadi luar biasa di Port Dickson. Angin yang berpuput lembut dari Selat Melaka menjadikan bandar pelancongan di Negeri Sembilan itu semakin menggiurkan.

Malam tadi panas itu terasa lain macam dan menyediakan persekitaran antara kenangan masa silam, realiti hari ini dan harapan masa depan.

Di pekarangan Markas PAS Cawangan Kampung Bukit Tembok, ribuan mata, telinga, pokok-pokok kelapa dan gerai-gerai menjadi saksi kesungguhan PAS mahu memberikan cabaran kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya kecil (PRK) 13 Oktober ini.

Tidak ketinggalan, bulan Muharam yang hampir sempurna penuhnya.

Slogan pada bangunan markas itu sekadar membayangkan iltizam PAS: "Jihad jalan kami Islam pasti menang".

Tidak jauh dari situ tertegaknya khemah bersejarah. Bukan sembarang orang yang ada di situ. Mereka ialah penyokong PAS yang istiqamah.

Di situ ada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, ada Datuk Takiyuddin Hassan, ada Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, ada Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Siapa yang tidak kenal dengan mereka, kan?




Di depan khemah ada lori kecil yang 'dibajukan' separuh. Ditegakkan buluh-buluh yang mengibarkan bendera PAS serta Malaysia. Pada separuh badan lori itu pula dihiasai bendera hijau dengan bulatan putih di tengahnya.

Pada belakang lori kecil itulah jadikan pentas.

Sesiapa saja yang naik dan berucap di pentas bergerak itu, mereka membelakangkan sebuah rumah batu setingkat yang berwarna ungu.

Padanan Anwar

Port Dickson ialah satu lagi manoeuvre PAS dalam pentas siasah negara. Ia juga satu penegasan daripada parti itu bahawa tiada sesiapa yang boleh menganggap parti itu sudah menjadi sejarah.

Mustahil PAS tidak sedar siapa lawan yang akan dicabar pada PRK di Port Dickson itu nanti. Namun PAS bukan parti kecil anak.

Bak kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan dicabar oleh calon PAS yang sepadan. Jangan ada sesiapa yang cuba memperlekehkan mereka.

Padanan Anwar untuk kerusi parlimen Port Dickson ialah Mohd Nazari Mokhtar. Dia seorang bekas tentera berpangkat tinggi, seorang pengetua maahad tahfiz, lepasan universiti luar negara (Bangladesh) dan bukan orang baru dalam langkah pilihan raya.

Turut penting untuk ditekankan, Mohd Nazari seorang pengusaha ladang durian. Bukan sembarang durian, tetapi durian Musang King!




Begitulah ketajaman langkah dan wawasan PAS berdepan dengan HARAPAN.

Ia mengingatkan bagaimana Abdul Hadi merangka 'Langkah Langkawi' semasa negara berdepan dengan pilihan raya umum (PRU) lalu. Beliau menjanjikan seorang calon yang berwibawa dan bertenaga untuk mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika orang ramai menyangka Abdul Hadi mencalonkan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir di Langkawi, PAS dengan bergaya meletakkan tokoh yang dirasakannya jauh lebih hebat daripada bekas menteri kanan Umno itu.

PAS memilih Yang Dipertua PAS Langkawi, Zubir Ahmad.

Nyaris juga Dr Mahathir kalah mengejut di Langkawi pada PRU ke-14 dulu.

Kajian mendalam

Hal yang sama dijangka bakal didepani Anwar pada 13 Okt nanti. Kecuali jentera HARAPAN merangka strategi yang betul-betul padu, Anwar tidak boleh leka dengan sebarang kemungkinan daripada PAS.

Jangan disangka tanpa bantuan Umno, PAS akan lemah. Hanya orang yang tidak faham akan langkah PAS boleh terpedaya. Bagi PAS, semakin mereka bersendirian, akan semakin kuatlah parti itu.

PRU ke-14 cukup menjadi bukti bagaimana PAS berjaya memporak-perandakan HARAPAN di negeri-negeri Pantai Barat.

Turut tidak boleh diabaikan ialah pelantikan Naib Presiden PAS Datuk Iskandar A Samad sebagai pengerusi Jawatankuasa Induk Jentera PRK Port Dickson.




Beliau orang lama yang penuh dengan pengalaman. Selain pernah menjadi pesuruhjaya PAS Selangor, beliau juga bekas exco kanan di negeri tersebut.

Beliaulah antara pemimpin kanan PAS yang awal mengarahkan jentera parti itu bergerak untuk bersedia bekerja menghadapi Anwar.

Pedulilah tentang perintah yang dikeluarkan Iskandar pada awalnya terarah ke kawasan Pandan.

Meski pun jarak di antara Pandan dan Port Dickson jauh, beliau lebih cergas bersiaga berbanding orang lain.

Itu belum diambil kira faktor analisis dan kajian mendalam oleh kumpulan pemikir PAS seperti Dr Mohd Zuhdi Marsuki.

Kepada Malaysiakini baru-baru ini beliau menyatakan belum ada arahan daripada pihak atasan untuk membuat kajian kebolehmenangan PAS di Port Dickson.

Kalau kaji selidik itu dijalankan dengan betul, tidak mustahil peluang kemenangan buat PAS akan bertambah tiga kali ganda.

Bulan masih menyinar

Apa pun itulah strategi PAS mendepani HARAPAN. Mereka bijak mencatur gerak dan pada masa sama mengaburi mata lawan.

Cuma masalah - kalau boleh dikatakan masalah - ialah hari penamaan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Sept untuk hari menamakan calon bagi PRK Port Dickson.

Sesetengah pemimpin tertinggi mungkin berada dalam dilema antara hadir mengiringi Mohd Nazari di bandar peranginan Negeri Sembilan, atau memberikan tanda kemesraan hangat buat Umno yang mengadakan perhimpunan agung tahunan mereka di Kuala Lumpur.




Semasa ceramah berakhir di Pasir Panjang malam tadi, penyokong PAS pulang dengan wajah berseri-seri. Bulan masih menyinar cerah di langit.

Pokok-pokok kelapa yang ada di tepi kawasan lapang itu sedikit pun tidak membuat peniaga cuak jika ada buahnya yang gugur tiba-tiba.

Di laluan masuk, sebuah kereta SUV berjenama BMW sedang bersedia menanti penumpangnya .

Entah siapalah yang punya. Sebuah motosikal Kawasaki berkuasa besar menderu laju sebaik tayarnya menyentuh jalan besar.

Imej-imej itu berbaur dengan markas PAS yang serba sederhana dan lori kecil yang menjadi pentas keramat untuk mengumumkan nama Mohd Nazari.

Port Dickson ialah jelmaan masa silam, realiti masa kini dan harapan masa depan PAS.

Buat PAS, selamat berjuang, selamat berjaya dan kenang daku dalam doamu.

AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang tidak gemar menggunakan pembaris semasa menulis.

Tiada ulasan: