Ahad, 23 September 2018

DAKWAAN KELUAR UMNO ADALAH MENGARUT – FASIAH



“Mengarut. Saya akan kekal dalam perjuangan UMNO,” kata Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berhubung dakwaan beliau antara 17 Ahli Parlimen yang akan keluar UMNO.

Beliau berkata dakwaan kononnya Ahli Parlimen yang mahu ‘menyelamatkan’ perniagaan atau untuk ‘menyelamatkan’ diri berhubung kes salah laku perlu meninggalkan UMNO, adalah tidak benar.

“Saya hanya Ahli Parlimen biasa serta tiada kepentingan perniagaan. Mungkin ada pihak yang sengaja cetus spekulasi untuk memecah-belahkan UMNO,” katanya kepada Watan Online pada Sabtu.

Sebelum ini lapan Ahli Parlimen UMNO menafikan keluar parti seperti yang viral menerusi pelbagai pentas media sosial hari ini.

Mereka adalah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong); Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan).

Turut membuat penafian, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas); Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu) dan Datuk Mohd Salim Mohd Sharif (Jempol).

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, mendakwa segelintir ahli dan pemimpinnya yang keluar parti kerana kepentingan perniagaan dengan kerajaan, sekali gus memerlukan tindakan drastik bagi menyelamatkan perniagaan itu.

Selain itu, katanya, faktor bimbang diganggu Suruhanhaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menjadi sebab utama sesetengah pemimpin UMNO bertindak keluar parti.


Tiada ulasan: