Ahad, 23 September 2018

Polis cari 'Bob Marley'


Polis cari 'Bob Marley'
Shamsul Amar (dua, kiri) menunjukkan pump gun yang dirampas pihaknya.(Gambar kecil) Aris Fadila Kasim atau 'Bob Marley'
 
 
KLANG - Polis mencari Aris Fadila Kasim @ Bob Marley bagi membantu siasatan  kejadian samun pengawal keselamatan di Jalan Udang Gantung, Kampung Telok Gong, di sini, Mei lalu.

Pencarian itu susulan tertangkapnya suspek utama berusia 38 tahun di sebuah rumah di Kampung Nelayan Telok Gong, Pelabuhan Klang, di sini, 5 September lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 4 petang oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Menurutnya, pemeriksaan menjumpai sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna biru yang dilapor hilang di Klang.

"Semakan rekod mendapati suspek ini memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

"Soal siasat turut membongkar kegiatan suspek yang terlibat dengan satu kes kejadian samun kilang dan melarikan senjata api jenis pump gun di Teluk Gong, Pandamaran sebelum menyembunyikannya di kawasan belukar," katanya.

Beliau berkata, kegiatan jenayah suspek itu dipercayai dilakukan bersama rakannya yang masih bebas dikenali sebagai 'Bob Marley'.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi memburu individu kedua ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada pihaknya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: