Isnin, 24 September 2018

Bagi Anwar menanglah – Mohd Amar

 
   

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pembangkang tidak perlu melayan pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

"Kalau tanya saya, mungkin kita tidak akan bertanding kerana ia bukan satu keperluan memandangkan PRK Port Dickson sengaja diada-adakan untuk memenuhi kehendak individu tertentu.

“Malah, pemimpin PAS juga tidak berminat dengan kerusi berkenaan.

“Jika BN pun tidak mahu meletakkan calon, kita bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim menanglah, " katanya ketika ditemui media di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Beliau menegaskan ia hanya pandangan peribadinya.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, PAS dijangka tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson kerana tidak berminat selain menyifatkan ia satu pembaziran.

"Tetapi keputusan muktamad akan diputuskan menerusi mesyuarat parti.

"Setakat ini kita belum mengadakan perbincangan dan akan diputuskan sebelum hari penamaan,” katanya ketika ditanya jika kemungkinan BN turut tidak meletakkan calon mereka.

Setakat ini hanya Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang bekas pemimpin MIC mengumumkan hasrat bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Umno dijadual hanya akan memutuskan akan masuk gelanggang atau tidak dalam mesyuarat biro politiknya di ibu negara petang ini.

Kerusi Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk membolehkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Port Dickson pada 13 Oktover depan dan hari penamaan calon pada 29 September.


Tiada ulasan: