Isnin, 17 September 2018

‘Saya tak salah’: Jho Low

siti hafidah

Jutawan kontroversi minta semua pihak berfikiran terbuka


BANGI – Hartawan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low, yang menjadi buruan pihak berkuasa mendakwa dirinya tidak bersalah apabila dituduh mencuri dana AS$4.5 bilion daripada syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menerusi kenyataan di laman webnya, Jho Low meminta semua orang, termasuk mahkamah, pendakwa raya dan orang awam – berfikiran terbuka sehingga semua bukti mencukupi.

“Boneka saya diarak di Kuala Lumpur dan gambar ketika usia muda terpampang di tabloid di seluruh dunia.

“Jika saya tahu, mungkin saya akan membuat sesuatu secara berbeza, sama seperti orang muda yang lain, tetapi sebarang kesilapan yang saya lakukan tidak membolehkan dakwaan yang merosakkan dibuat terhadap saya.

“Biar saya jelaskan: Saya tidak bersalah,” katanya dalam satu surat yang ditandatanganinya di laman web berkenaan.

Jho Low dikehendaki pihak berkuasa Malaysia, Singapura, Amerika Syarikat serta beberapa negara lain yang turut menyiasat mengenai 1MDB.

Dia didakwa atas lapan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

Jho Low tetap menafikan tuduhan mencuri wang 1MDB, dan mendakwa hasil kekayaannya adalah warisan keluarganya.


Tiada ulasan: