ULASAN | Sains bukan demokrasi. Fakta tidak tertegak kerana ia popular. Fakta sains, seperti mana fakta-fakta yang lain perlu dibuktikan dengan kajian di atas landasan yang betul. Walau ia tidak popular, ia perlu dipertahankan atas alasan kebenaran.
Desakan beberapa tokoh politik untuk menghalalkan penggunaan marijuana bagi tujuan perubatan membuatkan kami tertanya-tanya apakah mereka sebenarnya memahami apa yang mereka katakan.
Adakah ia desakan yang dilakukan dengan berasaskan ilmu atau kerana ia satu idea yang popular?
Awal Jun yang lalu, telah berlangsung mesyuarat World Health Organisation (WHO) Expert Committee on Drug Dependance (ECDD) kali ke 40 di Geneva, Switzerland.
Mesyuarat ini dibuat khas untuk membincangkan bukti-bukti saintifik terkini berkenaan kegunaan marijuana untuk tujuan perubatan. Keputusan mesyuarat tersebut kami rumuskan di dalam artikel ini.
Beberapa kategori bahan berasaskan marijuana telah dinilai secara kritikal oleh pakar-pakar ternama dari seluruh dunia yang menjadi ahli di dalam mesyuarat tersebut iaitu: Pohon kanabis dan resinnya; Ekstrak kanabis; Delta-9-tetrahydrocannabinol (THC); Cannabidiol (CBD).
Pohon kanabis dan resinnya
Pohon kanabis mengandungi lebih dari 100 bahan aktif yang telah ditemui. Bahan aktif yang dianggap paling utama adalah CBD dan juga THC.
THC dipercayai bahan utama dalam kanabis yang menyebabkan kesan psikoaktif.
Beberapa negara membenarkan penggunaan pohon kanabis dan resinnya untuk tujuan perubatan bagi indikasi sakit belakang, sukar tidur, sakit selepas kecederaan dan multiple sclerosis.
Namun begitu, kajian penggunaannya bagi indikasi-indikasi tersebut masih berterusan kerana penggunannya belum dapat dibuktikan secara kukuh.
Apabila diambil, ia boleh menyebabkan kesan samping seperti loya dan gangguan fungsi motor dan kognitif. Ini menyebabkan pengambilnya tidak boleh memandu.
Terdapat juga laporan risiko yang ia menyebabkan gangguan pernafasan, masalah degupan jantung dan koma dalam kalangan kanak-kanak.
Namun begitu, kebanyakan kesan sampingan yang berlaku adalah disebabkan pengambilan berterusan secara kronik.
Pengambilannya secara kerap menyebabkan masalah kesihatan mental seperti keresahan,
kemurungan dan masalah psikatrik. Ia amat mendatangkan bahaya kepada remaja kerana ia menyebabkan gangguan terhadap perkembangan otak.
Ekstrak kanabis
Contoh ekstrak kanabis adalah minyak dan nabiximol. Bahan-bahan ini biasanya diambil melalui mulut (makan/minum) dan juga disedut asapnya. Ekstrak kanabis juga mengandungi bahan aktif THC dan CBD.
Kajian mendapati beberapa bahan ekstrak kanabis ini berupaya mendatangkan ketagihan.
Terdapat kes di mana sindrom withdrawal berlaku apabila pengambil bahan ini berhenti mengambilnya secara tiba-tiba. Ini dikatakan disebabkan oleh komponen THC di dalam ekstrak tersebut.
Kajian terhadap haiwan dan manusia menunjukkan potensi ekstrak kanabis menyebabkan ketagihan.
Namun begitu, sekiranya bahan aktifnya dikaji secara berasingan, CBD kurang berisiko menyebabkan ketagihan berbanding THC.
Apa yang mendatangkan masalah adalah ekstrak kanabis tidak mempunyai formula yang standard.
Kandungan bahan aktif di dalamnya bercampur-campur dengan kadar kepekatan THC dan CBD berbeza mengikut penyediaan.
Ini menyebabkan kawalan ke atas ekstrak kanabis sukar untuk dilakukan dan penggunaannya untuk tujuan perubatan tidak dapat dibuktikan dengan jelas.
Delta-9-tetrahydrocannabinol (THC)
Penggunaan THC sintetik (dronabinol) telah dululuskan oleh US FDA untuk beberapa indikasi seperti meningkatkan selera makan bagi pesakit AIDS dan mengurangkan loya dan muntah bagi pesakit kanser yang menjalani kemoterapi.
Kajian kegunaan THC ke atas indikasi-indikasi seperti dementia, kesakitan neuropatik, sakit abdomen, kesakitan kronik dan kemurungan masih belum dapat dibuktikan keberkesanannya secara jelas.
Kajian-kajian lanjut diperlukan bagi memastikan sama ada ia boleh digunakan bagi indikasi-indikasi tersebut.
Pengambilan THC secara kronik telah dibuktikan mendatangkan ketagihan dengan jelas oleh beberapa kajian ke atas haiwan dan manusia.
Tidak dapat dinafikan, THC berpotensi untuk disalahguna dan berisiko menyebabkan impak sosial.
Cannabidiol (CBD)
CBD adalah bahan aktif yang paling sering dikaji kegunannya dalam bidang perubatan terutamanya untuk rawatan sawan.
Ia telah dibuktikan berupaya merawat dua jenis sawan iaitu sindrom Lennox-Gastaut dan sindrom Dravet.
Kajian-kajian kegunaan CBD untuk rawatan asma, ketagihan, ubat tahan sakit, anti inflamasi, antikanser dan beberapa indikasi lain masih lagi di tahap pra klinikal dan belum dapat dibuktikan keberkesanannya dengan jelas.
Walaubagaimanapun, CBD didapati tidak mempunyai risiko ketagihan dan tiada risiko disalahguna.
Melalui keputusan dari mesyuarat tersebut, kita dapati bahawa WHO masih lagi berhati-hati dalam menyarankan penggunaan marijuana medikal secara meluas.
Polisi populis rugikan diri
Kebenaran penggunaan perlu dinilai menggunakan kekuatan bukti saintifik dari masa ke semasa. Oleh itu, bukanlah sesuatu yang janggal bagi negara-negara yang masih berhati-hati termasuk Malaysia dalam menghalalkan penggunaannya.
Ini bukan bermaksud negara-negara ini terkebelakang dan tidak menyedari potensi penggunaan marijuana untuk tujuan perubatan, akan tetapi mereka mempunyai neraca pertimbangan yang lebih teliti.
Impak sesuatu polisi perlu dikaji sedalam-dalamnya oleh mereka yang benar-benar pakar. Masalah dan kepentingan setiap negara tidak sama kerana ia turut melibatkan budaya dan agama.
Adakah penghalalan ini akan menyebabkan marijuana dipandang biasa dan akan mendatangkan masalah yang lebih besar seperti rokok dan dadah berat yang lain?
Realitinya, bagi indikasi yang kuat pembuktiannya, ubatan berasaskan marijuana telah pun wujud dan diiktiraf.
Sama seperti kokain dan opium yang dikawal dengan ketat dan diberikan kepada pesakit hanya dengan indikasi yang betul oleh mereka yang benar-benar layak.
Bukankah kita telah berulang-ulang kali diajar oleh sejarah, polisi-polisi bersifat populis banyak yang akhirnya merugikan kita sendiri?
FH ABAD ialah seorang ahli farmasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan