Ahad, 23 September 2018

Patut didik bayar hutang dari awal bukan dipolitikkan


Wang
Gambar hiasan.
 
 
SHAH ALAM - Isu pinjaman pendidikan terutamanya peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sepatutnya tidak dipolitikkan sejak dari awal lagi kerana melibatkan masa depan peminjam itu sendiri serta bakal peminjam.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang - Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, perkara paling penting dalam isu pinjaman pendidikan ialah setiap daripada peminjam perlu diberitahu dengan tegas bahawa hutang yang dibuat perlu dibayar balik mengikut perjanjian yang telah dibuat serta tanpa berlengah-lengah.

Menurutnya, sekiranya peminjam berjaya dilatih dari awal untuk lebih berdisiplin dan bertanggungjawab khusus dalam aspek pengurusan kewangan termasuk pembayaran hutang pendidikan, sudah pasti peminjam dapat menempuhi segala dugaan dan cabaran yang bakal datang di dalam kehidupan mereka kelak.

“Ibarat kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, orang muda khususnya harus dididik dari awal supaya mereka lebih berdisiplin untuk melunaskan segala tanggungjawab mereka.

“Sekiranya terlalu banyak janji manis politik yang diberikan khusus buat peminjam PTPTN, ia memberi satu isyarat kepada peminjam bahawasanya tidak salah bagi mereka untuk terus berlengah - lengah, menangguhkan serta untuk tidak terus membayar balik segala pinjaman pendidikan yang telah mereka buat,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian.

Muzaffar berkata, kesan dari janji manis politik itu akhirnya akan mengakibatkan mereka menjadi individu yang tidak bertanggungjawab serta individu sambil lewa terutamanya dalam aspek pengurusan kewangan di masa hadapan kelak.

Menurutnya, tidak salah sekiranya mana-mana pihak lantang bersuara untuk membantu para peminjam pendidikan melunaskan segala hutang mereka dengan memudahkan proses pembayaran balik pinjaman.

“PTPTN adalah satu daripada inisiatif Kementerian Pendidikan yang diterajui oleh bekas Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak melalui dasar pendemokrasian proses pendidikan negara.

Sejak penubuhan PTPTN 20 tahun lalu, lebih 2.8 juta rakyat telah mendapat manfaat menerusi pinjaman berkenaan.

“Pinjaman pendidikan PTPTN membuka seluas - luasnya peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi sama ada ke universiti awam, politeknik dan Institusi Pendidikan Swasta (IPTS),” katanya.

Muzaffar berkata, walau apa pun jenis pendidikan yang ditawarkan isu yang membabitkan pinjaman pendidikan tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan politik oleh mana - mana pihak.

“Antara pinjaman pendidikan yang wujud di negara ini selain PTPTN ialah pinjaman dari Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA), pinjaman daripada yayasan - yayasan negeri, pinjaman daripada kerajaan - kerajaan negeri, pinjaman daripada institusi atau organisasi tertentu serta pinjaman persendirian daripada individu,” katanya.

Menurutnya, pihak yang terlibat dengan pemberian pinjaman berkenaan telah bertukus lumus memastikan para peminjam dapat melunaskan kembali segala pinjaman yang telah mereka buat dengan cara yang penuh tertib, hikmah serta mengikut budi bicara semua pihak yang terlibat.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hutang PTPTN hampir menyamai kerugian 1MDB]

Pada 11 Ogos lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan hutang PTPTN berjumlah RM39 bilion menyamai kerugian ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tiada ulasan: