Ahad, 23 September 2018

Tutup terus sekolah tahfiz pengetua songsang


Tutup terus sekolah tahfiz pengetua songsang
Mujahid Yusof Rawa (kanan) ketika sidang media, tadi.
 
 
SEREMBAN -  Kerajaan tidak akan teragak-agak menutup terus sekolah tahfiz sekiranya pengetua atau pemilik didapati bersalah melakukan gangguan seksual terhadap pelajar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana perbuatan keji itu bukan sahaja mencemarkan institusi tahfiz dan menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan terhadap institusi itu tetapi memburukkan imej Islam.

“Berulang kali saya tegaskan, jangan kita menggunakan nama baik institusi tahfiz untuk melakukan perkara dilarang agama. Orang sebegini perlu diajar dan diambil tindakan tegas, bahkan sekolahnya juga perlu diberi amaran. Kalau dia pengetua, kita tutup terus sekolah itu kerana bagaimana seorang pengetua yang memimpin institusi tahfiz buat perkara keji begitu?

“Pengetua atau guru yang melakukan perbuatan itu juga tak boleh mengajar lagi di sekolah tahfiz kerana telah memalukan nama baik institusi tahfiz lain yang turut memberi kesan terhadap ibu bapa yang menghantar anak belajar di situ,” katanya.

Menurutnya, ketika ini kerajaan juga dalam proses mengintegrasikan sekolah tahfiz supaya mengikut arus perdana.

“Saya tak nak proses ini terganggu kerana adanya perbuatan keji sebegini,” katanya selepas hadir pada seminar Fiqh Kewarganegaraan Dalam Naratif Malaysia Baharu di Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan seorang pengetua sebuah sekolah tahfiz di Kepong, Kuala Lumpur yang ditahan polis kerana dipercayai meliwat sembilan pelajarnya, baru-baru ini.

Mujahid berkata, pihaknya akan meneliti laporan kes itu dan jika suspek didapati bersalah tindakan menutup pusat tahfiz berkenaan akan diambil.

“Saya menasihatkan ibu bapa yang mahu menghantar anak ke sekolah tahfiz yang diiktiraf kerajaan selain mengambil kira ciri-ciri keselamatan dan kokurikulum disediakan.

“Saya bimbang juga jika ada sekolah tahfiz yang mengajar doktrin fahaman tertentu kepada pelajar mereka dan kita memantau perkara ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga kini dalam proses memperkenalkan dan memperluaskan gagasan ‘Rahmatan Lil Alamin’  untuk diaplikasikan dalam urusan pentadbiran harian agensi agama Islam di negara ini.

“Pengenalan konsep ini bagi memperlihatkan yang pentadbiran Islam sentiasa membawa kebaikan dan kesejahteraan termasuk dengan hubungan bukan Islam.

“Sebelum ini kita telah jelaskan maksudnya secara falsafah dan sekarang bagaimana nak terapkan dalam konsep pentadbiran,” katanya.

Sementara itu pada majlis berkenaan, Mujahid turut menyampaikan ucaptama mengenai Fiqh Muwatanah kepada kira-kira 300 peserta seminar sebelum majlis dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Tiada ulasan: