Jumaat, 28 September 2018

'Umno tak malu, sudah ditolak masih merayu'

 
   

PKR Melaka menyifatkan Umno tidak malu dan makin hilang maruah susulan cadangan presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan kerajaan perpaduan dengan parti Pakatan Harapan.

"Inilah nasib Umno hari ini yang sangat ego dan keras kepala pada satu ketika dahulu.

“Meludah ke langit jatuh ke muka juga," kata Naib Pengerusi PKR Melaka G Rajendran dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pendirian dua pemimpin utama HARAPAN, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat jelas dengan menolak kerjasama itu.

Malah, katanya, Anwar selaku presiden PKR, berkata cadangan itu tidak relevan.

“Namun, Umno masih merayu dan ini sangat memalukan," tambahnya.

Terdahulu, Zahid dalam laporan New Straits Times, berkata Umno adalah parti yang sedang menunggu menjadi kerajaan dan berharap dapat kembali berkuasa dengan membentuk "kerajaan perpaduan" dengan mana-mana parti HARAPAN tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada keputusan BN untuk memboikot pilihan raya kecil Port Dickson ada kaitan dengan usaha menjalin perikatan dengan PKR atau BERSATU.


Tiada ulasan: