Khamis, 27 September 2018

Cukai gula: Penyelesaian segera kepada obesiti?

Cukai gula: Penyelesaian segera kepada obesiti?
Gambar hiasan
 
 
SEMUA makanan menyumbang tenaga kepada manusia, tetapi krisis obesiti di Malaysia yang meruncing mendatangkan panik kepada sesetengah pihak.

Cadangan berdasarkan bukti diperlukan bukannya penyelesaian segera tanpa bukti sains yang kukuh seperti mewujudkan cukai ke atas minuman manis bergula.

Bagaimana cadangan perlaksanaan cukai ke atas gula menyelesaikan masalah obesiti di Malaysia apabila gula hanya menyumbang kepada 102 kalori sehari, jauh di bawah batas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sebanyak 224 kalori?

Bagaimanakah ‘cukai soda’ yang merupakan sumber kalori kecil iaitu purata 30 kalori setiap orang sehari, menyelesaikan masalah obesiti di negara ini?

Pada 1996, hanya 4.4 peratus rakyat Malaysia mengalami obesiti. Pihak bertanggungjawab gagal menjangkakan kesan peningkatan ekonomi dan mengawal tabiat makan yang memberi kesan terhadap rakyat Malaysia.

Sebagai contoh, Singapura memperkenalkan program makanan sihat, Simbol Pilihan Sihat pada tahun 1998. Sebagai perbandingan, kita baru sahaja memulakan program sama pada tahun 2017.

Singapura telah melabur dalam kempen pendidikan dan kesedaran supaya rakyatnya lebih mahukan produk makanan yang lebih sihat.

Di samping itu, Singapura bekerjasama dengan syarikat makanan, saintis dan ahli nutrisi sebagai usaha mencegah obesiti. Usaha tersebut termasuklah penyelidikan berdana dan mencipta persekitaran yang menyokong inovasi dalam teknologi makanan yang bertanggungjawab menghasilkan makanan yang lebih sihat.

Sebaliknya yang berlaku di Malaysia, pihak bertanggungjawab tidak mengesyorkan dan melaksanakan tindakan untuk mengatasi obesiti, malah menyokong idea populis untuk mengenakan cukai ke atas produk mengandungi gula walaupun laporan 4/2013 oleh Akademi Sains Malaysia menyatakan polisi tersebut adalah yang ke-25 dari 28 pilihan polisi.

Satu kajian oleh Institut Global McKinsey pada 2014 menyimpulkan kawalan pemakanan dan pembaharuan tabiat makanan lebih efektif daripada perlaksanaan cukai ke atas minuman di United Kingdom.

Pada 2017 pula, Institut Penyelidikan Ekonomi New Zealand (NZIER) ditugaskan Kementerian Kesihatan New Zealand untuk menilai bukti cukai gula sebagai instrumen fiskal untuk meningkatkan kesihatan.

Selepas mengkaji sejumlah 47 penyelidikan dan kertas kerja yang diterbitkan lima tahun sebelum itu, NZIER menyimpulkan bahawa ‘bukti perlaksanaan cukai gula untuk meningkatkan kesihatan adalah lemah’.

Walaupun begitu, idea perlaksanaan cukai terhadap produk yang mengandungi gula dibangkitkan sekali-sekala terutama apabila kesihatan orang awam dicabar, kesan daripada membendung wabak penyakit tidak menular.

Walaupun laporan terkini Suruhanjaya Peringkat Tinggi WHO yang tidak mengesyorkan langkah fiskal untuk mengekang pengambilan gula, badan kesihatan di Malaysia tetap ditekan untuk mengambil dasar tersebut oleh pakar antarabangsa.

Perlu diingat bahawa pakar-pakar tersebut tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kesan, antaranya kerosakan ekonomi atau kehilangan pekerjaan, hasil daripada cadangan mereka. Pakar-pakar ini tetap akan pulang ke negara mereka sendiri dan membiarkan Malaysia menanggung kesan idea yang salah.

Sokongan terhadap perlaksanaan cukai minuman bergula adalah merbahaya kerana ia mengalihkan perhatian daripada punca sebenar peningkatan kadar obesiti dan memusnahkan harapan untuk penyelesaian yang lebih berkesan akibat pelaksanaan yang berdasarkan idea popular semata-mata.

Daripada mengguna pakai penyelesaian ‘silver bullet’, pihak bertanggungjawab dan penggubal dasar di Malaysia perlu menjalankan analisis ketat berkenaan bukti dan data, selain melibatkan sekali pihak berkepentingan dalam perbincangan sebenar.

Tiada ulasan: