Selasa, 25 September 2018

JAWI mohon maklumat donut percuma kumpulan ‘Who Is Hussin’

MALAYSIAKINI



Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) hari ini memohon pihak-pihak yang mempunyai maklumat mengenai penyebaran ajaran Syiah supaya menyalurkan maklumat berkenaan untuk tindakan lanjutnya.

Menerusi satu kenyataan media, Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya menyedari keresahan masyarakat tentang program yang dianjurkan oleh pertubuhan Who Is Hussin yang memberi sumbangan donat percuma pada 22 September lalu.

“JAWI telah membuat pemantauan berterusan berdasarkan aduan awam yang diterima melalui media sosial semalam.

“Berdasarkan keputusan fatwa oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan di bawah Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah- wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], adalah diperakukan bahawa ajaran Islam selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak.

“Dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran lain selain ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah kepada penganut agama Islam di Wilayah Persekutuan adalah dilarang,” katanya.

Mohd Ajib pada masa yang sama juga menasihatkan semua pihak supaya bertenang dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa bagi menangani sebarang isu yang timbul.

Pada 22 September lalu, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung memuat naik satu status di Facebook miliknya mendedahkan satu kumpulan Syiah giat melakukan dakwah ajaran agama mereka di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Menurutnya, kumpulan Syiah itu mengambil lokasi yang lazim digunakan beliau untuk melakukan gerakan dakwahnya di sana.

Malah, katanya, kumpulan berkenaan turut memberikan donut secara percuma untuk menarik perhatian orang ramai.

LIHAT FB DI SINI

Tiada ulasan: