Rabu, 26 September 2018

Mohd Sabri kecewa Amanah abaikan Nik Omar


PETALING JAYA: Mohd Sabri Salleh, sepupu kepada Nik Omar Nik Abdul Aziz kecewa dengan pucuk pimpinan parti Amanah yang seakan-akan mengabaikan anak bekas mursyidul am PAS itu selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Mohd Sabri Salleh berkata Nik Omar sebelum ini merupakan watak penting ketika berkempen.

“Sepatutnya pemimpin baru macam Nik Omar diangkat untuk bina imej baru kepada Pakatan Harapan (PH), tapi tidak ada apa-apa tindakan daripada pimpinan pusat.

“Sebagai contoh Nik Omar buat kutipan derma untuk sekolah tahfiznya, itu saya pelik ustaz Kazim
boleh RM50,000 senang-senang untuk tahfiz, sedangkan Nik Omar betul-betul bantu PH terpaksa kutip derma buat majlis makan laksa.

“Harapan saya bukan sahaja untuk Nik Omar tapi kepada Datuk Husam (Musa) juga sebab pengaruh beliau boleh pergi jauh dan tarik pengaruh jika diberi kedudukan penting dalam parti.

“Begitu juga Nik Omar kalau diberi tempat seperti di Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), beliau boleh bawa satu gelombang di Kelantan,” katanya.

Sabri merupakan adik Setiausaha Dewan Ulama Pas, Dr Nik Zawawi Salleh.

Beliau merupakan individu yang membuat laporan polis terhadap Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebelum PRU14 yang kononnya PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno.

Tak akan patah balik kepada Amanah

Pada 10 September lalu, Sabri mengumumkan keluar Amanah dan melepaskan jawatan sebagai ahli jawatankuasa Amanah Pasir Puteh.

Katanya, keputusan itu tidak dibuat secara tergesa-gesa malah melalui penelitian sejak beberapa bulan lalu.

“Saya tidak berpuas hati dengan pemimpin pusat terutamanya presiden (Mohamad Sabu) yang dilihat gagal menyelesaikan isu parti yang timbul, sebagai contoh serangan dibuat (ahli Amanah) ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tidak puas hati dengan presiden sudah lama dari pembahagian kerusi lagi, sebagai contoh beliau tanding kerusi Kota Raja milik Dr Siti Mariah (Mahmud) itu tidak patut,” katanya.

Sabri berkata dia tidak akan berpatah balik menyertai Amanah semula selepas kecewa dengan pimpinan parti itu.

“Setakat ini saya akan berkecuali dulu, tidak buat keputusan sama ada mahu sertai parti lain.

“Ada pemimpin dari Amanah pujuk supaya kembali semula kepada Amanah, saya tidak akan patah balik kepada Amanah,” katanya.

Dia juga berkata setakat ini tidak ada pemimpin PAS memujuknya untuk sertai PAS.

Sabri turut mendakwa terdapat sikap merebut jawatan dalam Amanah sepertimana berlaku dalam Barisan Nasional.

“Sikap kejar kuasa itu memang mana-mana parti ada, benda itu tidak kira parti mana,” katanya.

Ditanya peluang PH merampas Kelantan pada PRU akan datang, Sabri berkata berdasarkan situasi ketika ini, sukar untuk gabungan itu menang walaupun bergabung dengan Umno sekalipun.

“Rakyat Kelantan jiwa mereka lain, lebih-lebih lagi bila PH tidak tonjol pemimpin agama, sebab rakyat Kelantan mahu pemimpin Islamik dan ada jiwa agama,” katanya.

Ditanya hubungan beliau dengan keluarga yang masih bersama PAS selepas pilihan raya, Sabri berkata keadaan baik cuma sedikit dingin.

“Hubungan tidak ada masalah, cuma dingin sedikit tapi tidak sampai putus hubungan,” katanya.

Tiada ulasan: