Ahad, 23 September 2018

“SAYA TAK LAYAK JADI PM… ” – ANWAR




Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak layak diangkat sebagai Perdana Menteri sekiranya mengabaikan agenda Melayu dan Islam.

Bakal Presiden PKR itu berkata, agenda Melayu dan Islam tetap menjadi keutamaan dalam memastikan kedudukannya terpelihara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tak faham mengapa sikap begitu (takut kepada Islam dan Melayu) ada. Ini pertama kali nak ulas, ada kawan-kawan yang menganggap mereka liberal, mereka takut.

“Mereka kata Anwar ini Melayu sangat dan agak Islam, mereka nak (saya) hilangkan Melayu dan Islam saya, baru layak jadi Perdana Menteri, (tetapi) saya kata kalau saya hilang Melayu, saya hilang Islam, saya tak layak jadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Amanat Perdana Malaysia Baharu PKR bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Auditorium Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Ipoh, Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Noor Manuty dan Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Timbalan Pengerusi PKR negeri, Dr Lee Boon Chye.

Anwar berkata, sebagai orang Melayu, sudah tentu beliau akan meneruskan agenda Melayu dan Islam dalam memastikan hak mereka diutamakan selain tidak meminggirkan agama dan bangsa lain yang ada di Malaysia.

“Walau akan pertahankan kepentingan Melayu, saya tetap akan jaga orang lain yang banyak memberikan sokongan kepada kita,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa pandangan beliau dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah senada.

Katanya, media didakwa sengaja melaga-lagakan dirinya dengan Dr Mahathir dalam isu berkenaan dengan menyatakan Perdana Menteri tidak setuju dengan isu LGBT manakala Anwar minta undang-undang berkenaan liwat dikaji semula bagi menunjukkan perbezaan pendapat.

“Saya dengan Dr Mahathir dalam soal ini (LGBT) sama, kita adalah masyarakat Malaysia yang faham agama dan kita tidak setuju dengan perkahwinan sejenis.

“Perkahwinan ini macam apa yang kita sebut ‘sanctity of marriage’ atau kesucian perkahwinan adalah di antara lelaki dan perempuan, itu fahaman kita (Islam) dan fahaman agama lain iaitu Hindu, Buddha dan Kristian, semua macam itu,” katanya.


Tiada ulasan: