Jumaat, 28 September 2018

Khidmat Teong Kim ditamatkan lepas gagal ke Piala Dunia B-17

MALAYSIAKINI


Khidmat ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Lim Teong Kim ditamatkan serta-merta oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas gagal melayakkan diri ke Piala Dunia Bawah 17 (B-17) tahun depan.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam selepas menerima arahan daripada Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Keputusan dibuat berdasarkan prestasi skuad negara yang tidak melepasi saingan peringkat kumpulan.

“Datuk Hamidin sudah mengarahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal memanggil Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia FAM bermesyuarat bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo secepat mungkin untuk membentuk panel pemilihan bagi mencari pengendali baru skuad B-16 kebangsaan.

“Dan cadangan mereka itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diputuskan,” kata S Ramalingam dalam kenyataannya, hari ini.

Skuad negara B-16 perlu menempatkan diri sekurang-kurangnya di peringkat separuh akhir Kejohanan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 untuk menempah tiket ke Piala Dunia B-17 2019 di Peru.

Bagaimanapun, skuad berkenaan gagal melangkah ke suku akhir dan hanya menamatkan kempen Kumpulan A di tangga ketiga susulan kekalahan 0-2 kepada Jepun dalam aksi terakhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Ramalingam bagaimanapun menjelaskan Teong Kim tidak pernah mengikat sebarang kontrak dengan FAM, sebaliknya mempunyai perjanjian dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kuasa FAM terhad kepada pelantikan ketua jurulatih dan panel penolongnya, tetapi Teong Kim masih mempunyai baki kontrak bersama majikannya. Terpulang kepada KBS untuk menentukan masa depan Teong Kim,” katanya

Tiada ulasan: