Rabu, 26 September 2018

2 bekas Menteri Kewangan II beri keterangan kepada PAC Parlimen

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Dua bekas Menteri Kewangan II hadir memberi penerangan dan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen semalam berhubung isu tuntutan tunggakan bayaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion.

Mereka ialah Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang memegang jawatan itu dari Mac 2008 hingga Jun 2016 dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang berkhidmat dari Jun 2016 hingga April 2018.

Pengerusi PAC Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ia merupakan lanjutan daripada prosiding yang diadakan pada 12 dan 13 Sept lalu.

“Kedua-dua bekas Menteri Kewangan II itu memberi penjelasan dan penerangan selama kira-kira sejam, menyentuh soal polisi, dasar serta tanggung jawab mereka berhubung GST ketika memegang jawatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut hadir pada prosiding semalam Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Siti Zauyah Md Desa yang mewakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta pegawai kanan Kementerian Kewangan (MoF).

Ronald berkata PAC juga akan memanggil bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi penjelasan dan penerangan mengenai isu sama pada 17 Okt.

Katanya, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah akan dipanggil semula pada 16 Okt walaupun beliau sudah hadir memberi penjelasan di hadapan jawatankuasa itu pada 13 Sept lalu.

PAC Parlimen turut menetapkan 22 Okt sebagai tarikh Menteri Kewangan Lim Guan Eng hadir di hadapan jawatankuasa itu untuk memberi penjelasan dan penerangan berhubung isu sama.

“Jawatankuasa ini berharap dapat membuat rumusan serta memberi cadangan kepada kerajaan berhubung isu tuntutan tunggakan bayaran GST berjumlah RM19.4 bilion ini apabila laporan PAC Parlimen berhubung isu ini dibentangkan di Dewan Rakyat selepas ketiga-tiga mereka selesai memberi penjelasan dan penerangan,” kata Ronald.

Dalam pada itu, beliau berkata PAC bersetuju untuk memulakan semula tidak lama lagi prosiding terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) milik Kementerian Kewangan.

Beliau menjelaskan, ini susulan keputusan Dewan Rakyat melalui usul Menteri Kewangan pada 16 Ogos lalu.—Bernama

Tiada ulasan: