Rabu, 26 September 2018

ANWAR TAKUT UNTUK JUMPA SAYA – ZAHID




“(Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) pun takut bertemu sebab saya sekarang pembangkang,” tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid menafikan yang beliau ada bertemua dengan pemimpin PKR itu bagi membincangkan kerjasama politik.

Sebaliknya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata beliau hanya mengadakan pertemuan dua kali dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Pengakuan itu sekali gus menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengatakan Ahmad Zahid sudah tujuh kali mengadakan pertemuan ‘empat mata’ bersama Dr Mahathir.

“Saya ingat malaikat saja yang tahu sama ada saya jumpa dua kali atau tujuh kali. Tapi setahu saya baru dua kali. Saya tidak tahu kalau ada malaikat atau iblis yang sentiasa ikut saya. Saya pun tidak tahu angka itu (tujuh) datang dari mana.

“Tapi saya tidak pernah bertemu atau berhubung dengan Anwar selepas 9 Mei lalu. Anwar pun takut bertemu sebab saya sekarang pembangkang,” katanya dalam temubual khas bersama sebuah portal berita dalam talian.

Ketua Pembangkang itu berkata, kali pertama Ahmad Zahid menemui Dr Mahathir ialah pada 7 Jun lalu iaitu pada Ramadan dan kali kedua, baru-baru ini bersama pemimpin tertinggi UMNO.

Anwar yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 2014 oleh Mahkamah Rayuan, dibebaskan dari penjara dan mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pertemuan itu diadakan susulan desakan yang beliau terima daripada akar umbi yang mahu UMNO melakukan sesuatu dan perubahan termasuk hendak menunjukkan UMNO adalah parti yang sedang menunggu menjadi kerajaan.

Bagaimanapun, beliau terpaksa ‘membisu’ dan merahsiakan pertemuan itu atas prinsip menyimpan rahsia dan strategi parti.

“UMNO bebas untuk berbincang dengan sesiapa saja sama ada dengan mereka yang belum pernah bersama Barisan Nasional (BN), yang dulu bersama BN dan kini tidak lagi bersama BN.

“Namun setakat ini belum ada keputusan sama ada hendak mengadakan kerjasama dalam jangka pendek atau jangka panjang. Kita harus melihat kepada perkiraan politik kerana kita tidak mahu menjadi pembangkang,” katanya.


Tiada ulasan: