Jumaat, 21 September 2018

PPKKM sifatkan kenyataan KPM tidak tepat



PPKKM sifatkan kenyataan KPM tidak tepat

Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) yang mewakili ahli-ahli syarikat kawalan keselamatan menyifatkan kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung kelewatan bayaran adalah tidak tepat dan tidak adil.

Dalam kenyataannya hari ini, PPKKM menegaskan masih banyak syarikat kawalan keselamatan yang membuat aduan kepada persatuan mengenai tunggakan bayaran.

Menurut PPKKM terdapat ahli yang mengadu bayaran bulan Jun 2018 dan sebelumnya masih belum diperolehi.

“Malahan bayaran bulanan untuk tahun 2017 di mana perkhidmatan telah dilaksanakan namun masih juga tertunggak dan dimaklumkan bahawa bayaran tertakluk di bawah peruntukan AP58 bagi tahun 2017. Disamping itu, bayaran pelarasan Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) masih lagi tertunggak.

“Kelewatan bayaran bagi perkhidmatan yang ada kalanya sehingga lima bulan, mengakibatkan aliran kewangan syarikat terbabit tergugat untuk menampung kos-kos operasi (termasuk gaji pekerja), kos kewangan (faedah pinjaman bank), kos mandatori (cukai, GST, KWSP, PERKESO, insuran dsb.), dan modal pusingan untuk menjalankan perniagaan,”katanya,

Terdahulu, KPM di dalam kenyataan menjelaskan semua syarikat kawalan keselamatan telah mendapat bayaran sehingga Jun 2018 melainkan syarikat yang mempunyai masalah dokumentasi dan tidak membuat tuntutan.

KPM juga memaklumkan sebahagian syarikat telah dibayar tuntutan sehingga bulan Ogos 2018 berdasarkan kesempurnaan tuntutan dibuat” dan isu-isu yang dibangkitkan.

Dengan kelewatan bayaran bagi perkhidmatan bulanan yang kritikal sepertimana berlaku sekarang, jelas PPKKM tidak dinafikan bahawa syarikat-syarikat terlibat akan menghadapi masalah kewangan yang serius.

Mengulangi sesi perbincangan anjuran Kementerian Kewangan Malaysia (KKM) pada 6 September 2018 yang turut dihadiri oleh PPKKM dan wakil KPM, PPKKM turut membangkitkan beberapa perkara berkaitan kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan termasuk isu penalti atau pemotongan bayaran yang tidak munasabah dilakukan secara “back-dated”.

Dalam perjumpaan tersebut, katanya, persatuan juga telah mendesak supaya masalah kelewatan bayaran bagi perkhidmatan kawalan keselamatan perlu diberi perhatian serius dan diselesaikan segera oleh pihak yang berkaitan.

Persatuan turut mengemukakan laporan terperinci dari syarikat-syarikat kawalan keselamatan yang membuat aduan kepadany berkaitan kelewatan bayaran bagi perkhidmatan bulanan yang berlarutan sehingga lima bulan untuk tindakan lanjut.

PPKKM turut mengambil maklum tentang beberapa perkara yang dibangkitkan oleh KPM semasa perbincangan tersebut berkaitan dengan aspek kualiti perkhidmatan, isu latihan dan tapisan keselamatan yang hanya melibatkan sebilangan kecil dari syarikat kawalan keselamatan yang mempunyai kontrak dengan KPM.

Berhubung dengan kenyataan oleh Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) di Utusan Malaysia yang bertajuk “Kontraktor ‘jaga’ sekolah gulung tikar” bertarikh 14 September 2018, PPKKM berpendapat kenyataan tersebut menggambarkan keadaan sebenar tentang kemungkinan syarikat kawalan keselamatan terpaksa gulung tikar sekiranya keadaan yang berlaku sekarang berterusan dan pihak kerajaan tidak membayar tunggakan bayaran dalam tempoh terdekat ini.

Tambahan pula, katanya, isu bayaran lewat perkhidmatan kawalan keselamatan bukanlah perkara baharu kerana persatuan telah beberapa kali mengemukakan aduan tersebut kepada KPM sejak tahun 2016.

Justeru, PPKKM menuntut dan berharap KPM menyelesaikan segera tuntutan bayaran tertunggak perkhidmatan kawalan keselamatan sehingga bulan Ogos 2018 seperti yang dinyatakan melalui kenyataan media KPM sebelum perbincangan selanjutnya diadakan antara PPKKM dan KPM yang dijadualkan pada 2 Oktober 2018.

Sehingga 1 Mei 2015 keahlian PPKKM berjumlah lebih 800 syarikat kawalan keselamatan yang beroperasi di seluruh negara.

Tiada ulasan: