KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno Malaysia membuat dua laporan polis
di balai polis Dang Wangi di sini hari ini berikutan dakwaan anggotanya
berkhalwat ketika Perhimpunan Agung Umno 2017 yang sedang berlangsung
ketika ini.
Ketua penerangannya Haryaty Hamdzah berkata laporan itu dibuat susulan
dakwaan bekas seorang anggota pergerakan itu yang disiarkan sebuah
portal berita pembangkang kononnya banyak berlaku kes khalwat setiap
kali perhimpunan agung Umno berlangsung.
“Kenyataan yang melampau, menjejaskan imej parti dan kepercayaan
rakyat. Ia juga menjejaskan imej anggota muda terutamanya dalam Puteri
Umno, Pemuda dan sebagainya.
“Ini mewujudkan persepsi baharu bahawa persidangan buat benda tak
betul, harap pihak berkuasa buat siasatan kenyataan ini,” katanya kepada
pemberita selepas membuat laporan itu di sini hari ini.
Turut membuat laporan polis di balai yang sama ialah ketua Puteri Umno
Klang Norhaslindawati Bujang. Haryaty berkata Puteri Umno juga bersedia
mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat fitnah itu
jika ada keperluan.
Beliau berkata kenyataan bekas anggota Puteri Umno itu, yang kini
bersama PAS, tidak berasas kerana ketika perhimpunan itu, Puteri Umno
memberi fokus kepada kepada agenda parti.
Kira-kira 10,000 anggota Puteri Umno hadir pada perhimpunan yang berlangsung dari Selasa hingga Sabtu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan