Ahad, 17 Disember 2017

Jangan membisu, pertahan parti, kata Musa kepada ahli Umno

 
Ketua menteri Sabah kecewa ahli Umno Sabah tidak cukup lantang mempertahankan parti di media sosial. 


zahidhamidi_pic1122
TPM Ahmad Zahid Hamidi di pelancaran Biro IT Umno di ibu pejabat parti di Kota Kinabalu.


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman memberi amaran keengganan ahli Umno bersuara mempertahankan parti akan menjejaskan Barisan Nasional pada pilihan raya nanti.

“Sejarah menunjukkan fitnah senjata paling berkesan menewaskan musuh,” katanya di pelancaran persidangan Media Sosial Umno Sabah hari ini.

Musa berkata Umno berdepan cabaran yang sukar dalam perang media sosial kerana ahli parti berdiam diri apabila parti dan pimpinan diserang.

“Kita ahli Umno jangan jadi ‘babau’ (bisu). Jangan membisu bila orang fitnah kita.

“Kalau kita sayang parti, kita perlu pertahankan parti. Kalau sayang pemimpin kita, kerajaan kita, kita pertahankan mereka,” katanya.

zahidhamidi_pic1
TPM Ahmad Zahid Hamidi bergambar bersama pimpinan Umno, diketuai Ketua Menteri Musa Aman (3 dari kiri).

Beliau berkata ahli Umno tidak perlu takut kerana kerajaan pimpinan Umno, terutamanya di Sabah, mempunyai rekod prestasi berkhidmat untuk rakyat yang terbaik.

Beliau kecewa apbila sesetengah ahli berkelakuan seolah mereka malu apabila bersuara untuk parti.
“Pembangkang seronok betul memfitnah kita dan menuduh kita menipu rakyat. Tetapi itu tidak betul. Kita ada bukti kita tidak menipu,” katanya.

Pengerusi BN Sabah mengingatkan ahli parti bahawa media sosial sekarang ini platform terbaik untuk mendekati pengundi.

Oleh itu, ahli terutamanya Biro IT Umno mesti menggunakan platform itu untuk membantu rakyat dan menggunakan pendekatan positif untuk memberi impak besar pada minda pengguna media sosial.

“Dalam politik, perang dilakukan di media sosial. Kita tidak boleh tewas pertempuran ini,” katanya.

Beliau mengingatkan ahli parti bahawa menuju pilihan raya, Umno terutamanya di Sabah, harus bersedia untuk menjawab sebarang isu yang dibangkitkan dan mempertahankan parti dengan lebih berkesan.

“Kita perlu beritahu rakyat kisah kejayaan kita untuk meyakinkan mereka,” katanya.

Tiada ulasan: