Roketkini.com
PAS diingatkan agar tidak ‘berlagak baik’ dengan menyarankan Pakatan Harapan (HARAPAN) melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri jika gabungan pembangkang itu memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).
Penolong Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata, PAS sendiri pernah menggagalkan usaha untuk mengangkat Anwar sebagai calon Perdana Menteri dalam PRU-13 lalu dengan mencadangkan nama Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.
Sheikh Omar mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki yang mengulas cadangan beberapa pihak dalam HARAPAN supaya Tun Dr Mahathir Mohamad kembali semula memimpin negara sebagai Perdana Menteri.
Zuhdi dilaporkan berkata bahawa beliau percaya Dr Mahathir akan membawa lebih banyak kerosakan kepada negara jika dilantik semula sebagai Perdana Menteri, justeru menyarankan HARAPAN melantik Anwar untuk mengisi jawatan itu.
“Kenyataan Zuhdi pada hemat saya tidak lebih sekadar suatu langkah untuk melemahkan usaha HARAPAN yang sedang berkerja untuk menolak kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” kata Sheikh Omar dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, cadangan Zuhdi supaya HARAPAN mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri menunjukkan kegagalan pemimpin parti Islam itu dalam memahami situasi yang dihadapi gabungan pembangkang itu ketika ini.
“Nasihat saya kepada Zuhdi, lebih baik beliau diam daripada sibuk terhadap urusan HARAPAN.
“Kenyataan dikeluarkan ternyata menunjukkan beliau gagal mengikuti keseluruhan justifikasi yang dikemukakan pimpinan HARAPAN berkaitan soal calon Perdana Menteri dalam keadaan Anwar yang masih berada dalam tahanan,” ujarnya.
Tambahnya, dalam ketiadaan suara tegas PAS mengkritik salah guna kuasa oleh Najib, kritikan Zuhdi terhadap HARAPAN itu bolehlah dilihat sebagai satu tindakan yang menyerlahkan peranan parti Islam itu dalam mengukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN). – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan