SHAH ALAM: Dua tertuduh wanita warga asing mengaku tidak bersalah
membunuh lelaki warga Korea, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Februari lalu.
Warga Indonesia, Siti Aisyah, 25 dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28,
membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim
Datuk Azmi Ariffin.
Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad, berkata pihak
pendakwaan akan membuktikan pembabitan wanita terbabit dalam kes
pembunuhan berkenaan.
Beliau berkata, bukti jelas menunjukkan perbuatan Siti Aisyah dan Doan
Thi Huong melumur cecair beracun yang dikenali sebagai Agen Saraf VX ke
muka Jong-nam hingga menyebabkan kematiannya.
"Melalui keterangan langsung, pendakwaan akan membuktikan Siti Aisyah
dan Doan Thi Huong dengan latihan 'prank' yang diselia oleh empat orang
yang masih bebas, berniat untuk membunuh Jong-nam," katanya.
Pada 28 Julai lalu, Azmi menetapkan perbicaraan kes Jong-nam akan berlangsung selama 23 hari bermula hari ini.
Pada prosiding itu, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Pada 1 Mac lalu, kedua-dua tertuduh bersama empat individu lain yang
masih bebas didakwa membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim
Jong-un itu di klia2 pada 13 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan