Isnin, 23 Oktober 2017

'PAS hanya mahu pasang bendera, bukan bikin kecoh'

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PETALING JAYA: PAS hanya mahu memasang bendera parti itu di sekitar  Wisma Tok Guru secara aman dan bukannya cuba untuk menimbulkan sebarang provokasi terhadap mana-mana pihak.
 
Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, mereka boleh memasang bendera tersebut secara aman dan tanpa sebarang masalah sekiranya tidak diganggu oleh penyokong parti serpihannya, Amanah malam tadi.
 
“PAS tidak samseng, PAS cuma hadir untuk pasang bendera sahaja tanpa sebarang provokasi. Ia boleh berlangsung dengan aman tanpa sebarang masalah jika tiada gangguan,” katanya yang dipetik portal Free Malaysia Today.
 
Fadhli turut mendakwa, wisma yang menjadi rebutan dua parti tersebut adalah sah milik PAS berdasarkan kepada geran yang diperolehi partinya.
 
Justeru katanya, ADUN Salor, Datuk Husam Musa yang menempatkan pejabatnya di bangunan itu sepatutnya bertindak mengosongkan bangunan berkenaan.
 
“Ia telah sah menjadi milik PAS melalui geran yang sudah dikeluarkan. Proses jual beli telah berlangsung dengan sempurna. Tiada sebarang keraguan.
 
“Pihak kami ialah pemilik sah kepada bangunan tersebut dan berhak untuk mengakses selagi tidak mengganggu hak penghuni sebagaimana termaktub di dalam notis,” ujarnya lagi.
 
Semalam, berlaku persengketaan antara PAS dan Amanah berhubung isu perebutan wisma berkenaan.
 
Suasana kecoh sekitar jam 9.00 malam itu bermula sebaik sahaja Ketua Pemuda Amanah negeri, Hazmi Hassan meminta izin daripada Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fazdli Shari untuk menggunakan pembesar suara bagi menyuraikan penyokong parti berkenaan yang berada di kawasan itu.
 
Namun, salah seorang wakil PAS ketika itu tidak mengizinkan permintaan tersebut sekali gus mencetuskan sedikit ketegangan antara penyokong kedua-kedua pihak. 
 
Ketegangan dan perang mulut antara penyokong kedua-dua parti itu berlaku kira-kira lima minit sebelum ditenangkan oleh polis.
 
Amanah yang menjalankan kerja-kerja parti di Wisma Tok Guru sebelum ini diberikan notis agar mengosongkan bangunan yang dakwa PAS, kepunyaan partinya.
 
Selain menempatkan pejabat Amanah Kelantan ia juga menjadi pejabat Husam.
 
 

Tiada ulasan: