Khamis, 26 Oktober 2017

Lagi desakan masyarakat Bugis supaya Dr M mohon maaf

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Kedegilan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memohon maaf ekoran mengeluarkan kenyataan menghina masyarakat Bugis, terus mengundang kemarahan kaum tersebut di negara ini.
 
Hari ini, lebih 300 ahli Persatuan Bugis Negeri Johor (PBNJ) serta Majlis Penyelarasan Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung Johor) berhimpun di hadapan bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, bagi menyatakan bantahan terhadap bekas perdana menteri itu selain menyerahkan memorandum kepada pegawai yayasan berkenaan.
 
Naib Presiden Gabung Johor, Abdullah Md. Yusof berkata, pihaknya yang mewakili lebih 850 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu menggesa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu memohon maaf kepada masyarakat Bugis serta menarik balik kenyataannya itu.
 
Sekiranya Dr. Mahathir terus enggan memohon maaf, beliau menegaskan, bekas perdana menteri itu perlu mempersiapkan diri berhadapan dengan gelombang bantahan yang lebih besar daripada masyarakat Bugis dari seluruh Malaysia dan juga Nusantara.
 
“Kita amat tersinggung dengan kenyataan Dr. Mahathir yang seolah-olah melabel masyarkat Bugis sebagai lanun walhal kaum ini sebenarnya adalah pahlawan yang berani. Kita berasa kesal kerana kenyataan beliau ini telah menyebabkan orang Bugis disalahtafsirkan.
 
“Oleh itu, jika Dr. Mahathir terus berkeras dan degil untuk memohon maaf, kita akan terus menggerakkan jelajah bantahan serta mengadakan demonstrasi dalam skala yang lebih besar selepas ini. Tunggulah...,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas menyerahkan memorandum berkenaan.
 
Dr. Mahathir ketika berucap dalam perhimpunan haram Pakatan Harapan diketuai DAP di Padang Timur, Petaling Jaya, Selangor pada minggu lalu menyebut Najib mungkin berasal daripada lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.
 
Ekoran kenyataannya itu, pelbagai pihak termasuk yang mewakili masyarakat etnik tersebut mendesak Dr. Mahathir supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kata-katanya namun Pengerusi Pakatan Harapan itu enggan berbuat demikian.
 
 

Tiada ulasan: