Selasa, 31 Oktober 2017

‘Penutupan 5 Giant bukti ekonomi tak seindah kata Najib’


Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa bakal penutupan lima pasaraya Giant adalah akibat kegagalan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, berita mengenai penutupan itu, membuktikan bahawa ekonomi Malaysia bukanlah seindah yang digambarkan oleh Najib dan kerajaan Umno-BN.

Bagi, ADUN Seri Setia itu, peningkatan KDNK negara dan sebagainya tidak memberi sebarang makna sekiranya perniagaan dan rakyat sendiri terus rasa tertekan dengan keadaan ekonomi yang kian meruncing akibat kegagalan pentadbiran kerajaan.


“Pengenalan cukai GST yang tidak teratur dan kejatuhan nilai ringgit sehingga mengakibatkan kenaikan harga barang jelas memberi kesan kepada peniaga.

“Pembeli juga semakin berkurangan kuasa membeli,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam bajet alternatif yang diumumkan minggu lalu, HARAPAN berjanji untuk menghapuskan GST dan mengembalikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekiranya mereka membentuk kerajaan persekutuan.

Jadi mangsa

Sementara itu, Nik Nazmi, yang juga Ketua Pemuda PKR, berkata nasib yang menimpa Giant itu hanyalah sebahagian daripada krisis yang melanda sektor runcit negara.

Beliau mendakwa bahawa sejumlah kedai-kedai kecil dan sederhana serta pembekal turut menjadi mangsa keadaan ekonomi semasa.

“Apa akan jadi kepada pekerja Pasaraya Giant, dan ribuan pekerja perniagaan lain yang terlibat dengan mereka?” soalnya.


Menurutnya, Najib tidak menyentuh isu-isu penting berkaitan dengan ekonomi atau memberikan penyelesaian semasa pembentangan Bajet 2018, tetapi memilih menjanjikan gula-gula sempena pilihan raya umum akan datang.

“Najib dan BN tidak mampu memulihkan ekonomi negara sendiri, tetapi ada hati pula hendak membantu mengukuhkan ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat.

“Pemimpin yang tidak merasai realiti masyarakat seharusnya dipencenkan kerana mereka hanya berbuat sesuatu untuk kepentingan sendiri, sementara rakyat terus menderita,” katanya.

Dua hari lalu, adalah dilaporkan lima cawangan pasaraya Giant akan ditutup serentak pada 5 November, berikutan keputusan untuk tidak menyambung perjanjian pajakan premis yang telah tamat.

Pemilik Giant, GCH Retail Malaysia memberitahu portal The Malaysian Insight bahawa, pihaknya memutuskan untuk menamatkan operasi di Sri Manjung, Sungai Petani, Shah Alam City Centre Mall, Sibu dan Selayang Lama.

GCH juga berkata penutupan lima cawangan itu dibuat selepas semakan semula operasinya bagi meningkatkan keberkesanan dan produktiviti.

Bagaimanpun menurut portal itu, jurucakap GCH enggan mengulas ketika ditanya mengapa perjanjian pajakan berkenaan tidak disambung dan mengenai nasib pekerja di lima premis terbabit.

Tiada ulasan: