Rabu, 25 Oktober 2017

Belanjawan Alternatif PH ambil masa satu dekad untuk dilaksanakan - Penganalisis ekonomi

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Belanjawan Alternatif 2018 yang dibentangkan Pakatan Harapan (PH) tidak bersifat realistik untuk jangka masa terdekat kerana beberapa 'janji' yang ditawarkan mengambil tempoh masa yang panjang untuk dilaksanakan. 
 
Penganalisis ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai berpendapat, belanjawan alternatif yang dibentangkan pembangkang hari ini lebih berbentuk kepada 'wawasan' memandangkan banyak perkara yang perlu diteliti dan diambil kira.
 
"Ini memerlukan masa, bukan boleh dilakukan sekelip mata, jadi mungkin kita kata apa yang dibentangkan adalah satu wawasan. 
 
"Dalam satu belanjawan itu kita sekarang ini membelanjakan dalam RM250-300 bilion, jadi kalau kita ingin potong semua itu, itu sudah melebihi 50 peratus dari belanjawan kita.
 
"Kita boleh mempunyai wawasan dalam tempoh 10 tahun, kita boleh hapuskan tol dan berikan pendidikan percuma dan kita boleh hapuskan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), itu boleh dilakukan dalam masa 10 atau 20 tahun.
 
"(Belanjawan alternatif) realistik tapi mengambil masa, bukan serta-merta dan tidak boleh dilakukan dalam satu belanjawan," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Belanjawan Alternatif 2018 yang dibentangkan PH pada hari ini, dua hari sebelum kerajaan Barisan Nasional (BN) mengumumkan Bajet 2018 Jumaat ini.
 
Antara 10 intipati yang dijanjikan parti itu termasuk mahu memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), selain berhasrat untuk menghapuskan tol dan memberikan pendidikan percuma kepada pelajar.
 
Bajet populis
 
PH berkata tawaran yang dijanjikan itu akan dilaksanakan sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak.
 
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa sesi pembentangannya petang tadi menyifatkan belanjawan alternatif itu sebagai peringatan kepada kerajaan, bahawa hasrat mereka menghapuskan GST itu sebagai usaha membantu pengguna.
 
Dalam belanjawan bertemakan “Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih Harapan” itu, PH mahu menggantikan GST yang dimansuhkan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). 
 
"Sebenarnya GST telah menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan, jadi persoalannya ialah kalau GST dihapuskan adakah cukai jualan dan perkhidmatan akan diperkenalkan semula.
 
"Kalau ia tidak diperkenalkan semula, dari mana akan datang sumber kewangan untuk menggantikan GST?," ulasnya. 
 
Bagaimanapun penggantian cukai GST kepada SST hanya hanya akan menjana pendapatan bersih RM16.5 bilion, berbanding GST yang dijangka menyumbang RM42 bilion pendapatan bagi tahun 2018.
 
PH turut menjelaskan bagi kekurangan RM25.5 bilion itu, mereka mendakwa bahawa dengan menyalurkan hasil yang dikumpulkan ke dalam ekonomi akan seterusnya meningkatkan hasil persekutuan kerana pengguna dan aktiviti perniagaan akan meningkat.
 
Dalam pada itu, Barjoyai tidak menolak belanjawan alternatif itu merupakan belanjawan populis, sungguhpun ia dinafikan PH.
 
Menurut pensyarah di Universiti Tun Abdul Razak (UTAR) itu, kerajaan BN juga akan mengemukakan bajet populis kerana menyedari PRU akan berlangsung tidak lama lagi.
 
Namun katanya, sejauhmana sesuatu bajet itu realistik adalah bergantung kepada penilaian dan perspektif rakyat itu sendiri.
 
"Sebenarnya semua parti politik akan mengemukakan bajet yang populis pada tahun ini kerana Pilihan raya akan menjelang tidak lama lagi, kerajaan BN juga akan mengemukakan belanjawan populis.
 
"Cuma mana yang lebih realistik bergantung kepada perspektif yang kita lihat mungkin adakah pembangkang ini realistik dari segi matlamatnya dalam jangka pendek, mungkin tidak, tetapi sebagai satu strategi masa panjang itu merupakan satu wawasan yang sangat baik," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: