Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya mahu
'tunjuk bagus' sehingga sering mengkritik apa sahaja yang dilakukan
kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Johan Aziz berkata
sebagaimana Azmin memimpin negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak juga mempunyai peranan yang lebih besar untuk memajukan Malaysia.
"Azmin ni jenis semua orang tak bagus, dia seorang bagus," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Menyentuh kritikan Azmin terhadap kejayaan Malaysia mengadakan
kerjasama diplomatik dan menarik pelaburan dengan China, Johan
menegaskan apa yang dilakukan Najib itu bagi memastikan ekonomi negara
terus kukuh di samping menawarkan peluang terbaik buat rakyat Malaysia.
"Janganlah apabila kerajaan persekutuan buat, dia perlekehkan. Cakap
nak jual negara. Tetapi dia pun pergi China juga. Hendak jual Selangor
ke?," selar Johan.
Pengumuman Najib memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga di Shah
Alam dan Plaza Tol Sungai Rasah di Klang semalam juga sekali lagi
menarik perhatian Azmin.
Azmin mendakwa perkara itu hanya dilakukan kerajaan persekutuan selepas
melihat permintaan rakyat di Selangor dikala mereka dihimpit kos sara
hidup yang semakin meningkat.
Johan yang juga ADUN Semenyih ketika mengulas hal itu menegaskan
kerajaan persekutuan mengambil dasar memansuhkan kutipan tol itu kerana
yakin pelbagai sektor lain mampu menjana pendapatan negara.
"Ini bukan sekali kerajaan tutup tol. Apabila ada keperluan dan dilihat
tidak menggugat ekonomi, maka ia ditutup. Jika ikut sejarah mengenai
tol, yang buatnya di zaman Tun M, yang menutupnya zaman Najib," ujar
Johan.
Selain Selangor, Najib juga mengumumkan pemansuhan kutipan tol di Bukit
Kayu Hitam, Kedah dan Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL),
Johor.
Azmin pada hari ini berkata kerajaan negeri tidak bercadang memansuhkan
kutipan tol di lebuh raya di Selangor memandangkan kerajaan negeri
hanya mempunya pegangan saham minoriti di dalam syarikat konsesi.
Johan dalam pada itu mengingatkan Azmin tidak terus mendabik dada
mengatakan kejayaan dan kemajuan di Selangor pada hari ini adalah hasil
usaha Pakatan Rakyat (PR) dan Pakatan Harapan (PH) semata-mata.
Sedangkan ujarnya, gabungan tersebut hanya meneruskan legasi yang ditinggalkan BN, setelah mereka kalah dalam pilihan raya.
"Selangor sudah maju sejak 2005, jangan lupa. Sembilan tahun ini sahaja baru berkhidmat. Apa yang terserlahnya?
"PRU pada 2008 BN kalah, tetapi sejak 2005 kita dah majukan Selangor
dan diiktiraf negeri maju. Maka kita hendak lihat sama ada dia boleh
uruskan negeri maju ini?," ujar Johan lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan