IPOH: Polis menahan dua lagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia
(TLDM) hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes kematian dua
anggota TLDM di bilik tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan, Jumaat
lepas.
Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan mengesahkan, dua lagi anggota
TLDM turut dirawat di Hospital Manjung kerana mengalami kecederaan yang
hampir sama dengan dua anggota yang meninggal dunia.
Penahanan itu menjadikan lima anggota TLDM ditahan setakat ini ekoran
kematian Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Laskar
Kelas 1 Muhammad Lailal Tuiman Mohd Sukri, 26, dipercayai didera.
“Kita sedang membuat siasatan forensik pada hari ini dan kita akan
membuat juga siasatan forensik terhadap kamera CCTV yang kita rampas.
“Pasukan daripada Bukit Aman bersama-sama sedang membantu dan
menjalankan siasatan bersama-sama dengan JSJ Perak,” katanya memetik
laporan Astro Awani.
Semalam Mahkamah Majistret Manjung mengenakan tahanan reman selama
tujuh hari terhadap tiga anggota TLDM bagi membantu siasatan kes
kematian Nik Muhammad Baihaqy dan Muhammad Lailatuiman selepas kedua-dua
mangsa meninggal dunia ketika menjalani latihan semasa ditahan di bilik
tahanan unit stesen tersebut.
Majistret Nur Shaqira Ibrahim membenarkan penahanan reman itu dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Hasil bedah siasat pada pukul 11.30 malam Sabtu mendapati punca
kematian kedua-dua mangsa adalah disebabkan oleh pendarahan paru-paru
akibat trauma tumpul.
Sehubungan itu, polis mengklasifikasi kejadian tersebut sebagai kes
bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika
sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan