Selasa, 31 Oktober 2017

Peguam Negara arah siasatan lanjut skandal 1MDB

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengarahkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, arahan tersebut telah dikeluarkan pada 24 Oktober lalu.
 
“Penyiasatan lanjut berhubung dengan kes 1MDB sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia berdasarkan arahan oleh Peguam Negara pada 24 Oktober 2017.
 
“Oleh sebab siasatan masih dijalankan, maka apa-apa pendedahan mengenai butiran siasatan boleh menjejaskan dan memprejudiskan usaha siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia dan perkara ini perlu dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) pada sesi Dewan Rakyat.
 
Dalam soalannya, Gobind ingin tahu status siasatan 1MDB dan mengapa terdapat kelewatan dalam melengkapkan siasatan tersebut.
 
Pada 20 September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, siasatan terhadap skandal 1MDB selesai selepas tiga bulan tempoh Jabatan Peguam Negara mengarahkan pihak polis untuk menyiasat lebih lanjut mengenai isu itu.
 
Katanya, tiada sebarang perkembangan baru untuk dimaklumkan setakat ini, kecuali ada arahan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) dan Kabinet.
 
“Tak ada, kita tak ada keperluan baru, siasatan itu dah selesai, kecuali kita ada arahan daripada PAC atau Kabinet dalam perkara ini. Tiada perkara baru perlu saya beritahu pihak media dan orang awam,” katanya.
 
Pada Jun lalu, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Jabatan Peguam Negara mengarahkan pihak polis untuk menyiasat lebih lanjut mengenai isu 1MDB.
 
 

Tiada ulasan: